MERSING: Pengunjung di Penyabong Waterfront, di sini bimbang dengan masalah gangguan monyet yang semakin menjadi-jadi di kawasan berkenaan dan berharap pihak berkuasa dapat mengatasinya dengan segera.
Seorang pengunjung, Haziq Hazmi Maslan,18, berkata, kumpulan monyet liar itu semakin berani mengganggu orang ramai terutamanya di kawasan kedai makan sehingga menimbulkan kurang selesa dalam kalangan pengunjung yang ingin menikmati hidangan.
Bukan itu sahaja, monyet liar berkenaan juga bertindak menyelongkar tong-tong sampah sehingga menyebabkan sampah-sarap berselerak.
“Difahamkan isu monyet ini semakin berani disebabkan oleh pelancong atau orang ramai yang suka beri mereka makanan.
“Kita lihat kesian juga kepada peniaga kerana monyet mula mengganggu kedai mereka dan yang lebih membimbangkan kepada pengunjung kanak-kanak yang ada di situ yang sangat berisiko diserang.
“Keadaan itu boleh menyebabkan pengunjung atau pelancong tidak tertarik untuk datang ke sini lagi dan ini sudah tentu akan menjejaskan para peniaga,” katanya kepada Utusan Malaysia.










