TELUK INTAN: Penduduk Kampung Bahagia di sini meminta tempat buang sampah di kawasan mereka di Jalan Utama Kampung Bahagia Kiri di sini dipindahkan ke lokasi lain yang lebih sesuai.
Penduduk berkata, ini kerana tempat membuang sampah Pusat Sisa Lestari (PSL) itu yang mula digunakan sejak dua minggu lalu terletak hampir dengan rumah penduduk dan dewan orang ramai yang dijadikan tempat untuk pelbagai majlis keraian termasuk kenduri perkahwinan.
Selain itu, PSL itu juga terlalu hampir dengan tadika dan kawasan perniagaan kedai makan.
Penduduk berkata, penduduk terpaksa menghidu bau busuk terutama jika terlalu banyak sampah yang dibuang di situ, menyebabkan mereka rasa tidak selesa.
Seorang penduduk, Ramlan Mohamad Isa, 62, berkata, kerana lokasi PSL berhampiran dengan dewan, ia menyebabkan tetamu majlis di dewan tersebut tidak selesa kerana menghidu bau busuk.
“Baru-baru ini saya ke Dewan Sri Bahagia di kampung ini untuk menghadiri Program Kenduri Rakyat. Saya letak kereta di depan dewan itu dan sebaik sahaja buka pintu kereta, saya tercium bau busuk yang datangnya dari kawasan pembuangan sampah tidak jauh dari dewan itu.
“Apabila saya hampiri kawasan itu, saya dapati timbunan sampah yang banyak dan tong sampah yang disediakan di situ sudah penuh hingga muatannya keluar. Tong sampah yang disediakan juga ada yang sudah pecah dan berlubang.
“Keadaan itu menyebabkan sampah bertaburan di atas jalan raya dan ini sudah tentu merbahayakan pengguna yang melalui jalan itu,” katanya.
Menurutnya, berdasarkan keadaan itu, lebih baik lokasi PSL itu dipindahkan ke lokasi lain yang lebih sesuai apatah lagi Kampung Bahagian dipilih sebagai Kampung Angkat Madani. – UTUSAN










