IPOH: Selepas hampir setahun, masalah capaian Internet di Terowong Menora Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) akhirnya diselesaikan menerusi baik pulih dan naik taraf peranti penguat isyarat atau repeater di kawasan tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak, Mohd. Azlan Helmi berkata, hal itu dicapai hasil tindakan oleh pengendali baharu menggantikan repeater rosak dengan peranti teknologi baharu yang selama ini tertangguh akibat pelbagai kekangan.
“Alhamdulillah hari ini kita turun untuk menyaksikan bahawa isyarat keterhubungan dalam Terowong Menora ini dan sekitarnya telah pulih,” katanya kepada pemberita semasa mengadakan lawatan ke terowong tersebut dekat sini hari ini.
Masalah Internet itu dibangkitkan oleh pelbagai pihak yang melihat kepada kepentingan akses perhubungan di kawasan berbukit-bukau tersebut yang sering menjadi lokasi kemalangan maut.
Mohd. Azlan berkata, pihaknya kini turut memberi tumpuan kepada beberapa lagi lokasi di sepanjang lebuh raya sama yang memerlukan peningkatan tahap capaian Internet termasuk dari Ipoh menuju ke utara selain beberapa tempat di sepanjang lebuh raya ke arah Kuala Lumpur.
Tambahnya, permohonan telah dihantar kepada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) tentang perkara itu termasuk dari segi cadangan pemasangan menara pemancar.
Dalam pada itu, Mohd. Azlan mengakui masih ada kawasan atau kampung-kampung Orang Asli di Perak yang memerlukan peningkatan kualiti Internet dan akan memberikan perhatian terhadap perkara tersebut.
Beliau berkata demikian susulan laporan media tentang kesukaran masyarakat Orang Asli untuk memohon pekerjaan dalam sektor awam kerana hampir kesemua kaedah permohonan perlu dilakukan secara dalam talian.
Masyarakat Orang Asli di Perak berjumlah 61,589 orang iaitu negeri kedua paling ramai Orang Asli selepas Pahang. – UTUSAN