‘Pulau Pinang paling mudah dapat tauliah penceramah’

‘Pulau Pinang paling mudah dapat tauliah penceramah’

MOHAMAD Abdul Hamid (tengah) ketika menghadiri Karnival Pendidikan Inklusif Jom Sekolah Peringkat Pulau Pinang, di Sunshine Central, Air Itam, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Pulau Pinang merupakan antara negeri yang paling mudah untuk mendapatkan tauliah berceramah agama, selagi pemohon mematuhi garis panduan serta prosedur ditetapkan.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, tiada isu penceramah dihalang menyampaikan kuliah di masjid atau surau jika mereka memperoleh tauliah atau mengemukakan permohonan kebenaran khas mengikut Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Pulau Pinang 2004.

“Pulau Pinang adalah negeri berdaulat dengan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam. Maka, semua ceramah perlu melalui Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP),” katanya selepas merasmikan Karnival Pendidikan Inklusif Jom Sekolah Peringkat Pulau Pinang, di sini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mohamad berkata, beliau sendiri menghentikan kuliah oleh penceramah tanpa tauliah sejak Oktober 2023 dan hasilnya, selepas enam bulan, sistem tauliah kini lebih tersusun.

Setiap permohonan, akan dinilai oleh Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran dan Kuliah diketuai Mufti Negeri bersama JHEAIPP dan tokoh agama.

Sekiranya pemohon berpengalaman luas dan tiada isu kontroversi, mereka boleh diberikan tauliah tanpa ujian bertulis atau temuduga.

“Saya tegaskan, hanya JHEAIPP berkuasa menguatkuasakan undang-undang berkaitan ceramah agama. Pejabat saya hanyalah pembuat dasar, bukan pelaksana,” katanya.

Mengulas dakwaan seorang pendakwah yang dihalang berceramah baru-baru ini, beliau menjelaskan bahawa individu terbabit tidak mempunyai tauliah dan tiada permohonan kebenaran khas dikemukakan oleh pihak masjid.

“Tindakan penguat kuasa berdasarkan peraturan. Saya terkejut bila nama pejabat saya disebut seolah-olah ada campur tangan politik. Ia tidak berasas sama sekali,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN