Laskar Kanan Maritim Malaysia didakwa terima rasuah RM10,700

Laskar Kanan Maritim Malaysia didakwa terima rasuah RM10,700

MUHAMMAD ADZMIN Zolkepli dIdakwa menerima rasuah berjumlah RM10,700 di Mahkamah Sesyen Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang Laskar Kanan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini  di atas enam pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM10,700 pada dua tahun lalu.

Muhammad Adzmin Zolkepli, 32, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Muhammad Adzmin yang ketika itu bertugas di Ibu pejabat Maritim Malaysia Kedah dan Perlis didakwa menerima wang berjumlah RM10,700 antara 2 Januari hingga Oktober 2022.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Segamat dengan menerima pindahan wang daripada seorang pemilik syarikat menerusi akaun orang tengah.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Abd. Muntaqim Abd. Aziz mencadangkan mahkamah memberikan jaminan berjumlah RM20,000 bagi semua pertuduhan dengan beberapa syarat tambahan, namun peguam bela tertuduh, Mohd. Norazam Majid meminta mahkamah memberikan jaminan berjumlah RM7,000.

Katanya, tertuduh kini bertugas di Sandakan, Sabah dengan pendapatan bersih RM1,700 sebulan dan turut menanggung lima ahli keluarga termasuk isteri tidak bekerja, anak berusia dua bulan serta ibu bapa dan nenek.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM7,000 bagi semua pertuduhan dan  7 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya