PETALING JAYA: Kos sara hidup menjadi perhatian dan cabaran utama buat rakyat Malaysia menjelang tahun 2025 berikutan perubahan beberapa dasar yang dilakukan.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, rasionalisasi subsidi bahan api, kenaikan cukai serta kenaikan gaji minima dijangka memberi cabaran besar.
Katanya, kos sara hidup menjadi aspek utama yang akan mencorak polar perbelanjaan dan tabiat pengguna pada tahun depan.
“Sebahagian besar kenaikan kos sara hidup dpengaruhi perubahan dasar seperti rasionalisasi subsidi bahan api serta perluasan skop cukai jualan dan cukai perkhidmatan (SST).
“Namun, setiap langkah ini ada tujuannya iaitu memperbaiki kedudukan kewangan kerajaan supaya lebih banyak lagi ruang yang boleh dibelanjakan untuk rakyat secara lebih bersasar dan menepati golongan sasaran,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Disamping itu, Afzanizam berkata, langkah mitigasi seperti bantuan tunai dan subsidi bersasar dijangka dapat mengurangkan impak dan kesan kepada rakyat.
“Namun, bagi meningkatkan daya saing individu, langkah jangka panjang melalui pendidikan, kesihatan dan infrastruktur akan dapat meningkatkan taraf hidup rakyat yang lebih bermakna,” katanya.
Semalam, akhbar ini melaporkan Malaysia dijangka berdepan keadaan ekonomi global yang mencabar pada 2025 selain ekonomi negara berkembang 4.9 peratus bagi 2024 dan diunjurkan 4.7 peratus pada 2025.
Selain itu, ketidakstabilan geopolitik di Eropah dan Asia Barat serta ketegangan perdagangan global terus memberi kesan kepada ekonomi negara.
Dalam pada itu, penganalisis ekonomi, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, Malaysia disarankan terus meluaskan pasaran baharu dalam memastikan ekonomi negara kekal stabil menghadapi ekonomi global menjelang tahun depan.
Katanya, negara boleh memanfaatkan sepenuhnya jaringan pasaran negara BRICS dalam memastikan ekonomi negara kompetitif.
“Pasaran yang luas oleh BRICS dapat mengurangkan pengantungan eksport terutamanya dalam komoditi mentah.
“Perdagangan menggunakan mata wang sendiri antara negara-negara ini juga bakal membantu ekonomi negara untuk kekal stabil,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kesan luar terhadap ekonomi negara dapat dielakkan dengan galakkan penggunaan barangan tempatan.
“Penggunaan produk-produk keluaran tempatan tidak hanya mengurangkan impak kemerosotan ekonomi global malah merancakkan ekonomi tempatan.
“Pengilangan dan pengeluar produk juga disaran cuba menurunkan harga barangan sebagai mengambil langkah penjimatan agar rakyat akan terus berbelanja,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, penganalisis ekonomi, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai pula berkata, kos sara hidup di negara pada masa ini sudah cukup tinggi dan ramai yang merasakan kehidupan semakin mencabar.
“Dengan kadar inflasi yang diramalkan melonjak lebih tinggi, harga barang keperluan dan perkhidmatan asas dijangka turut mengalami kenaikan mendadak. Situasi ini memberi tekanan besar kepada isi rumah, terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
“Walaupun gaji minimum telah dinaikkan, namun, jumlah itu masih belum mencukupi untuk menampung kehidupan selesa di kebanyakan kawasan terutamanya di bandar-bandar besar,” katanya.
Terdahulu dilaporkan, unjuran inflasi pada tahun 2025 dijangka meningkat kepada antara 3.0 peratus hingga 3.5 peratus, berbanding 2.5 peratus hingga 3.0 peratus sebelum ini, susulan pengumuman rasionalisasi subsidi petrol RON95 yang akan dilaksanakan pada tahun hadapan.
Sementara itu, Penganalisis Ekonomi Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff tidak menafikan berdasarkan jangkaan pelan 2025, Malaysia akan berdepan dengan lebih banyak cabaran ekonomi.
“Kenaikan gaji minimum yang akan bermula separuh tahun depan memang diharapkan dapat membantu golongan berpendapatan rendah tetapi ia mungkin tidak cukup untuk menampung kenaikan inflasi yang dijangka,” ujarnya.










