Keluarga rayu jasad kakak di Korea Selatan dibawa balik ke Sabah

Keluarga rayu jasad kakak di Korea Selatan dibawa balik ke Sabah

MENDIANG Olivia Richard yang meninggal dunia di bandar Andong di Wilayah Gyeongsang Utara, Korea Selatan pada Rabu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: “Betulkah apa yang saya dengar?” Hanya itu pertanyaan yang mampu dilontarkan Dora Richard selepas menerima khabar pemergian kakaknya, Olivia Richard, 46, yang meninggal dunia di bandar Andong Wilayah Gyeongsang Utara, Korea Selatan Rabu lalu

Dora berkata, tidak pernah mendiang kakaknya mengadu mengalami sakit sepanjang mereka berhubung. Malah, sehari sebelum dia meninggal dunia pun, mereka ada berhubung melalui panggilan video.

“Dia (Olivia) hanya memberitahu dia selsema kerana cuaca di sana terlalu sejuk. Tapi, tidak pernah dia mengadu sakit. Berita pemergiannya pun kami tahu daripada kumpulan Whatsapp di kampung.

“Selepas menerima berita itu, baru saya hubungi kawannya di bandar Andong, Korea untuk mendapatkan pengesahan berita yang kami terima. Ternyata khabar duka itu memang benar.

“Kakak meninggal dunia di rumah sewa tempatnya bekerja. Semasa kawannya cuba mengejutkan kakak dari tidur, tapi dia tidak bangun-bangun. Apabila diperiksa memang dia sudah tidak bernyawa,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Dora anak ketiga daripada tujuh beradik berkata, mereka sekeluarga terutama emaknya memang terkejut dengan berita yang diterima kerana selama hampir tiga tahun berada di Korea Selatan, tidak pernah kakaknya mengadu sakit.

Katanya, Olivia adalah ibu tunggal kepada tiga anak. Ketiga-tiga anaknya masih bersekolah di Papar berusia antara sembilan hingga 14 tahun.

Bagi membawa pulang jasad mendiang Olivia yang berasal dari Kampung Navoung Papar, mereka memerlukan kos sejumlah RM35,000.

Mayat mendiang kini ditempatkan di Sungso Hospital Andong di Korea Selatan dan mereka hanya mempunyai kira-kira tiga hari bagi mengumpul dana bagi membayar kos pengurusan jasad mendiang.

Sumbangan boleh diberikan melalui akaun adik mendiang, Dora Richard (115121090723-Maybank). Sebarang pertanyaan boleh berhubung dengan Dora di talian 019-8149558. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN