Kebumi secara Islam: Mahkamah batal saman anak

Kebumi secara Islam: Mahkamah batal saman anak gali kubur bapa

ROZIATON Mohd. Nordin (kiri) dan Zainul Rijal ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Seremban semalam selepas prosiding keputusan permohonan seorang anak untuk menggali semula kubur bapanya yang telah dikebumikan secara Islam.-UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Mahkamah Tinggi Seremban di sini semalam membenarkan permohonan Kerajaan Negeri Sembilan dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) untuk membatalkan saman pemula difailkan seorang anak untuk menggali kubur bapanya yang dikebumikan secara Islam pada tujuh tahun lalu.

Keputusan itu dibuat Pesuruhjaya Kehakiman, Mohamad Haldar Abdul Aziz selepas membaca dan meneliti notis permohonan responden, afidavit serta hujahan bertulis yang difailkan.

“Atas pertimbangan dan keberangkalian, mahkamah memutuskan untuk membenarkan notis permohonan difailkan responden ketiga, Kerajaan Negeri Sembilan dan responden keempat MAINS,” katanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pada 31 Julai 2023, Roseli Mahat, 51, memfailkan saman pemula dengan menamakan lima responden iaitu Kerajaan Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negera (JPN), Kerajaan Negeri Sembilan, MAINS dan Ketua Polis Negara.

Plaintif yang turut hadir ke mahkamah hari ini sebelum ini mendakwa bapanya, Mahat Sulaiman mengamalkan agama Hindu Baba Nyonya sejak lahir pada tahun 1941 dan telah meninggal dunia pada 9 September 2017 dengan dikebumikan secara Islam.

Peguam mewakili Kerajaan Negeri Sembilan, Roziaton Mohd. Nordin berkata, terdapat dua isu dibangkitkan iaitu plaintif gagal menamakan pelaku kesalahan kecuaian ‘tortfeasor’ serta terhalang oleh had masa.

“Tuntutan pemohon jelas tidak berasas dan suatu penyalahan proses mahkamah, malah pemohon telah terhalang oleh had masa menurut Seksyen 2 Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948.

“Pemohon telah mengambil masa yang terlalu lama untuk memulakan tindakan ini dan hanya memulakan tindakan ini selepas enam tahun berlalu iaitu selepas melebihi 34 bulan atau hampir tiga tahun daripada berakhirnya kausa tindakan pemohon,” katanya.

Jelas Roziaton, berdasarkan perenggan 19 afidavit sokongan, bapa plaintif telah meninggal dunia pada 9 September 2017, oleh demikian kausa tindakan pemohon terhadap responden ketiga telah berakhir pada 9 September 2020.

Sementara itu, peguam mewakili MAINS yang diketuai, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berpendapat, kertas kausa difailkan plaintif adalah tidak teratur dan perlu dibatalkan.

“Bidang kuasa untuk menentukan sama ada si mati itu Islam atau tidak semasa kematiannya adalah Mahkamah Syariah, bukannya Mahkamah Sivil.

“Mahkamah Sivil tidak boleh masuk campur dalam hal ini dan kalau dia tidak puas hati keputusan pengebumian dibuat secara Islam, dia mesti memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini