KUALA LUMPUR: Pelakon, Kodi Rasheed, 34, berpendapat jumlah pengikut di media sosial bukan lagi menjadi perkara yang dinilai stesen televisyen (TV) untuk memilih pelakon bagi sesebuah drama atau telefilem.
Katanya, pandangan itu timbul setelah sekarang ini wujud pelakon yang tidak mempunyai pengikut media sosial yang ramai namun berjaya mendapatkan watak utama dalam drama terbitan sebuah stesen TV, baru-baru ini.
“Nama saya sebelum ini banyak kali ditolak stesen TV, apa sebabnya saya pun tidak pasti. Saya berpendapat, jumlah pengikut di media sosial bukan lagi faktornya. Mungkin sebelum ini, iya, ketika awal pembabitan saya dahulu.
“Sekarang tidak, kerana ada juga pelakon yang pengikut media sosialnya hanya cecah puluhan ribu tetapi dapat watak utama dalam drama terbitan Astro.
“Apa pun, pucuk pangkalnya, mungkin penerbit kena pertahankan pelakon pilihan mereka,” katanya yang ditemui dalam majlis pelancaran trailer, poster dan OST filem Limbungan: Tragedi Hitam 1975.
Kodi atau nama sebenarnya, Mohd Zhazmeer Mohd. Rasheed berkata, dia enggan ambil pusing mengenai pilihan stesen TV.
Katanya, dia menyerahkan soal rezeki kepada ketentuan Tuhan dan berikan kerja yang terbaik sekiranya menerima tawaran berlakon.
“Saya dari dulu percaya rezeki tetap ada. Cuma, bila dapat peluang, saya akan berikan hasil kerja yang terbaik.
“Kalau orang suka, Alhamdulillah. Kalau tidak, saya cuba lagi sampai kerja saya bertambah baik,” katanya.
Dalam masa yang sama, Kodi gembira dengan kewujudan platform OTT yang banyak membuka peluang kepada ramai anak wayang di Malaysia.
“Setakat ini, banyak peluang berlakon yang saya terima dari platform OTT. Dan lebih menggembirakan apabila drama-drama lakonan saya di platform itu seperti Bawah Payung Awan dan Salju Rindu Di Bumi Auckland mendapat sambutan memberangsangkan.
“Platform OTT ini pada saya sangat membantu. Semakin banyak diwujudkan, semakin ramai pelakon yang dapat kerja,” kongsinya.