Ini diri saya, tidak perlu banding penjurian saya dengan orang lain - Mas Idayu - Utusan Malaysia

Ini diri saya, tidak perlu banding penjurian saya dengan orang lain – Mas Idayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi dan juri program realiti Famili Duo, Mas Idayu berharap penonton berhenti membandingkan cara penilaiannya dengan juri daripada rancangan lain.

Menurut Mas Idayu yang mesra dipanggil ‘mummy’ itu, segala komen yang diberikan adalah bedasarkan ilmu dan pengalaman dengan caranya tersendiri.

“Tidak perlu membanding-bandingkan. Saya hanya menjadi diri sendiri. Saya pun tidak mahu jadi orang lain. Saya tak pernah memberikan komen terhadap kawan-kawan atau sesiapa sahaja yang menjadi juri.

“Pernah ke anda dengar saya komen juri di program lain. Sekali pun saya tak pernah kacau orang tapi diri saya ini ramai yang kacau sebab mereka tak suka cara saya.

“Apa yang boleh saya buat? Dalam dunia ini, bukan kita hidup seorang. Ada ramai di sekeliling kita. Jadi, saya memang kena tempuh perkara ini sama ada suka atau tidak,” katanya.

Mas Idayu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media lagu Harum Mekar Di Hati yang berlangsung di Red Box, The Curve, Petaling Jaya pada Khamis.

Bukan itu sahaja, penyanyi Bolehlah Boleh itu juga tidak merasa ada keperluan menyertai mana-mana pertandingan hanya untuk membuktikan dirinya layak mengadili sesuatu pertandingan.

“Hanya kerana komen netizen, saya nak kena dengar cakap mereka ke? Perkara ini terjadi sebab ada yang tidak berpuas hati. Bila sudah meningkat usia, bukan sahaja menyanyi, bercakap pun suara kita akan menggigil.

“Apa yang saya kongsikan ketika menjadi juri adalah melalui pengalaman sewaktu saya berjaya dahulu. Terpulang nak ikut atau tidak.

“Kejayaan yang saya kecapi dahulu, belum tentu anda boleh dapat. Saya duduk di kerusi juri itu bukan saja-saja. Saya pernah menang Anugerah Industri Muzik dan Artis Dangdut Terbaik,” tambahnya.

Sepanjang menjadi anak seni, dirinya sudah lali berhadapan dengan kecaman. Oleh itu dia tidak ambil pusing segala komen yang tidak berasas.

“Sepanjang menjadi juri, sejak isu Sissy Iman dan Thamira, memang saya jadi sasaran. Pada saya, biarlah saya yang kena. Jangan peserta saya. Saya sudah biasa dimaki.

“Sepanjang 12 tahun ini, hati saya sudah kental. Jangan kacau peserta saya. Saya pula sejenis yang tidak melayan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mas Idayu hadir dengan lagu terbaharu Harum Mekar Di Hati hasil ciptaan Ajai dan Raizo Almire. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN