BUKIT MERTAJAM : Kegiatan sindiket menyeleweng barangan kawalan dan bersubsidi yang dijalankan dalam gudang yang sentiasa memaparkan tanda ‘bercuti’ terbongkar apabila ia diserbu oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang di Permatang Batu di sini, hari ini.
Ketua Pegawai Penguatkuasa negeri, Mohd Suffian Mohd Abbas berkata, dalam serbuan itu, pihaknya berjaya merampas sebanyak 6,371 kilogram (kg) minyak masak; 18,100 kg gula pasir serta 1,100 kg tepung gandum bernilai RM80,500.
Katanya, risikan telah dijalankan kira-kira sebulan lalu sebelum serbuan dibuat sepasukan penguatkuasa kira-kira pukul 11 pagi.
“Berdasarkan pemerhatian yang dilakukan, pintu masuk utama ke gudang terbabit sentiasa memaparkan tanda ‘cuti’ dan berkunci, namun, didapati berlaku aktiviti keluar masuk kenderaan.
“Ketika serbuan dibuat, terdapat sebuah lori yang sudah diisi dengan bekalan minyak masak dan dipercayai bersedia untuk keluar membuat penghantaran. Lori itu turut disita sekaligus menjadikan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM105,500,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambahnya, seorang pemandu warga tempatan dan seorang wanita warga Filipina yang masing-masing berumur dalam lingkungan 70-an dan 40-an turut ditahan untuk siasatan lanjut.
“Modus operandi yang digunakan ialah, para pekerja akan menggunting minyak masak paket yang diperolehi daripada pemborong untuk diisi ke dalam tong ‘jerry can’ berkapasiti 17 kg dan dipercayai akan dijual kepada pihak industri dengan harga kira-kira RM80 sehingga RM90 bagi setiap tong.
“Untuk gula pula, mereka akan gunting pek satu kg gula yang akan dibungkus semula ke dalam guni dan akan dijual semula kepada pihak industri bagi mengaut untung lebih,” katanya yang percaya kegiatan itu sudah berlanjutan sejak dua tahun lalu.
Mengulas lanjut, Mohd Suffian berkata, pekerja pembungkusan dipercayai turut membakar kesemua bungkusan plastik minyak masak, gula dan tepung di bahagian belakang gudang terbabit bertujuan untuk melupuskan bahan bukti.
“Gudang ini beroperasi menggunakan lesen sah dan kita sedang mengenal pasti pemilik gudang terbabit dan beberapa pekerja lain yang dipercayai sempat melarikan diri. Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Kawalan bekalan 1961 dan Peraturan 13(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya. – UTUSAN