PETALING JAYA: Skuad ragbi tujuh sebelah (7s) wanita negara mensasarkan untuk sekurang-kurangnya mara ke peringkat separuh akhir dan membawa pulang gangsa di Sukan SEA 2025 Thailand, Disember ini.
Jurulatihnya, Faiz Shamsukhidir berkata, pasukan tuan rumah menjadi ancaman utama kepada skuad Bunga Raya 7s wanita negara selain penggunaan pemain naturalisasi daripada Filipina.
“Setakat ini, sasaran kami empat pasukan teratas dan pada masa sama mungkin gangsa sebab ikutkan pada permulaan, kalau dapat komitmen penuh dari Januari hingga Disember saya secara peribadi letak sasaran final.
“Namun, daripada segi persiapan sudah terjejas dan kita kena realistik jadi, paling kurang kita kena masuk separuh akhir untuk gangsa dan kalau ada rezeki kita ke final,” katanya.
Skuad Bunga Raya 7s wanita negara dijadual beraksi dalam kejohanan Johor 7s bermula hari ini hingga Ahad dan Faiz menjadikannya sebagai platform pemilihan pemain bagi menghadapi temasya dwitahunan itu.
“Saya tak letak sebarang sasaran untuk kejohanan ini kerana saya masih dalam proses pemilihan pemain. Johor 7s kali ini memang saya letak majoriti pemain muda, nak bagi mereka pengalaman sebab pasukan kebangsaan Singapura dan Thailand turut mengambil bahagian,” katanya.
Pasukan negara diletakkan dalam Kumpulan A bersama SJ26 Ladies, Vixens Melaka dan kelab Singapura, Bedok Kings Skyllas dengan kesemua perlawanan diadakan di Stadium Ragbi Johor.
Sebagai rekod, pasukan ragbi 7s wanita negara membawa pulang pingat perak pada edisi 2019 di Filipina selepas tewas 19-0 kepada tuan rumah. – UTUSAN










