PETALING JAYA: DRB-HICOM Berhad (DRB-HICOM) dan Zhejiang Geely Holding Group Co. Ltd. (Geely Holding) menandatangani dua Memorandum Persefahaman (MOU) untuk mentransformasi Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV) di Tanjong Malim, Perak dan menjadi hab automotif global bagi Kenderaan Generasi Baharu (NxGV) dan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV).
Menurut kenyataan, MOU pertama dimeterai dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), bertujuan meneroka potensi kerjasama untuk mempromosikan pelaburan khusus dalam pembangunan AHTV.
“Antara bidang kerjasama utama termasuk mempromosikan transformasi industri automotif Malaysia dan Industri 4.0 (I4.0) untuk membantu Malaysia menjadi peneraju EEV di ASEAN.
“Usaha ini bertujuan menjadikan AHTV sebagai hab automotif global yang menumpukan kepada pengeluaran NxGV, pembuatan pintar komponen automotif berteknologi tinggi, serta pangkalan eksport rantaian bekalan global bagi kenderaan dan komponen lengkap.
“Bidang kerjasama lain termasuk menarik dan menempatkan pemain rantaian bekalan automotif global serta mewujudkan ekosistem lengkap di dalam AHTV.
“Ini merangkumi peningkatan keupayaan pembekal tempatan untuk menyertai proses pengeluaran komponen utama serta membantu transformasi dan peningkatan rantaian bekalan tempatan,” katanya.
Jelasnya, pihak terlibat juga akan mewujudkan komunikasi dan perbincangan dengan pihak berkepentingan berkaitan dasar pelaburan, perdagangan, dan industri serta mempercepatkan promosi dan penggunaan kenderaan cekap tenaga di Malaysia bagi membangunkan ekosistem EEV.
Sementara itu, MOU kedua yang dimeterai bersama Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) akan meneroka kerjasama dalam Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) serta Pembangunan Bakat untuk AHTV.
“Dalam bidang R&D, skop kerjasama termasuk pembangunan kemudahan R&D dan ujian bersama yang memberi tumpuan kepada R&D kenderaan, pembuatan, rantaian bekalan, dan keupayaan ujian NxGV di peringkat ASEAN.
“Ini termasuk penubuhan Pusat Ujian dan Homologasi Kebangsaan di AHTV sebagai pusat ujian dan pensijilan kebangsaan bagi iklim tropika, pemanduan autonomi, dan EEV di Malaysia.
“Selain itu, pihak terlibat juga bersetuju membangunkan keupayaan reka bentuk tempatan dan kepakaran dalam komponen kritikal seperti e-motor, sistem pengurusan bateri, dan unit pengagihan kuasa dengan bantuan Geely Holding,” katanya.
Dalam bidang pembangunan bakat, kerjasama termasuk pembangunan program latihan bakat automotif AHTV yang memfokuskan kepada NxGV dan pembuatan pintar akan memupuk bakat dalam R&D, peralatan pintar, pembuatan, dan perkhidmatan pemasaran bersama institusi dari China dan Malaysia.
Ini termasuk menetapkan piawaian kebangsaan untuk TVET automotif dan pensijilan SKM, melaksanakan program perantis automotif, mencipta modul untuk sekolah menengah hingga universiti, serta menjalankan program pensijilan untuk pendigitalan dan kecekapan I4.0 dalam pembuatan dan rantaian bekalan. – UTUSAN










