Didie Alias minta hormati siasatan, henti buat spekulasi Along Cham - Utusan Malaysia

Didie Alias minta hormati siasatan, henti buat spekulasi Along Cham

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengacara dan pelawak, Didie Alias, meminta masyarakat untuk menghormati proses siasatan pihak polis terhadap isu ganja membabitkan sahabat baiknya, Along Cham. 

Didie atau Fadzilah Mohd Ali, 52, memohon agar sebarang spekulasi tidak sahih dihentikan bagi memelihara perasaan ahli keluarga pelawak tersebut.

“Tolonglah hentikan, siapa tahu, dia tahu. Benda masih dalam siasatan.

“Kita jaga nama dan aib dia serta keluarganya. Saya bukan nak membela sesiapa, cuma jangan dibesar-besarkan benda ini. 

“Lagipun benda sedang dalam siasatan. Doakan semoga urusan dia dipermudahkan, saya tak nak besar-besarkan isu ini,” katanya.

Didie berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sahabatnya, Along Cham, yang ditahan atas tuduhan memiliki dadah jenis kanabis. 

Pelakon Cukup Derita Itu juga tegas mengingatkan orang ramai agar menghentikan perbuatan menyebarkan aib Along yang sudah dianggap seperti keluarga sendiri.

“Tolong hormati kami dan industri kami,” tambahnya singkat ketika ditemui di majlis pelancaran produk Conboo di Royal Chulan, baru-baru ini.

Terdahulu, Along atau nama sebenar, Muhammad Nizamuddin Ahmad, 41, didakwa dengan dua pertuduhan miliki ganja di dua mahkamah berasingan membabitkan ganja seberat 58.23 gram (g) dan 2.07g.

Pelawak itu disyaki memiliki dadah berbahaya jenis kanabis anggaran berat 58.23g di sebuah rumah di Cyberjaya pada 14 Disember lalu.

Bagaimanapun, Along mengaku tidak bersalah bagi setiap pertuduhan. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN