KANGAR: Orang awam yang dikenal pasti membuang sampah merata-rata atau puntung rokok di sekitar negeri ini bakal berdepan tindakan saman serta-merta.
Bagi tujuan itu, satu jawatankuasa dibentuk hasil kerjasama antara Majlis Perbandaran Kangar (MPK) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) untuk membolehkan penguatkuasaan dilaksanakan bermula tahun hadapan.
Yang Dipertua MPK, Affendi Rajini Kanth berkata, peringkat permulaan, pihaknya akan melaksanakan langkah pendidikan dalam kalangan masyarakat selama tiga bulan sebelum tindakan saman serta-merta diambil.
“Tindakan saman dikenakan pada kadar antara RM10 sehingga RM50 bergantung kepada sampah yang dibuang tersebut, manakala pembuangan sampah, denda boleh mencecah RM500 mengikut undang-undang ditetapkan.
“Selepas tamat tempoh pendidikan pada Mac depan, kita akan mula serahkan notis saman bertulis bersama bukti bergambar kepada pesalah terlibat sebagai tindakan penguatkuasaan,” katanya.
Dalam pada itu, Affendi berkata, pihaknya juga akan menempatkan anggota berpakaian biasa bersama kad kuasa bagi memudahkan tugas pemantauan.
Tambahnya, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) juga akan diberikan perhatian selaras dengan usaha MPK menuju ke arah Smart City. – UTUSAN