KUALA LUMPUR: Sokongan terhadap Barisan Nasional (BN) dan UMNO yang semakin meningkat ketika ini, mampu meningkatkan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan dan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Mazlan Ali berpandangan, ia mampu melonjakkan sokongan pengundi Melayu kepada gabungan itu sebanyak 30 peratus berbanding hanya 11 peratus sebelum ini.
Kata beliau, dalam masa sama, BN bakal mendapat ‘tempias’ sokongan pengundi bukan Melayu kepada PH sebelum ini.
MASALAH
“Masalah PH adalah sokongan orang Melayu kerana mereka yang menyokong PH hanya 11 peratus sahaja. Apabila UMNO menyertai PH, ia akan membawa 30 peratus sokongan, sudah cukup baik untuk Kerajaan Perpaduan.
“Pada masa yang sama, undi Cina dilihat boleh dialihkan kepada BN di sesetengah kawasan mengambil contoh apa yang berlaku dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Mahkota September lalu.
“Ia cukup baik jika simulasi yang sama diterjemahkan kepada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. Sebab itu saya katakan, sokongan antara PH dan BN memberi kekuatan di antara mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini yakin Kerajaan Perpaduan boleh memenangi PRU akan datang sekiranya aspek kesetiaan kepada parti diberikan keutamaan.
Presiden UMNO itu turut menegaskan, BN akan terus memberikan komitmen untuk bersama Kerajaan Perpaduan dan mewujudkan kerajaan yang stabil sehingga PRU-16.
Mazlan berkata, Kerajaan Perpaduan turut diyakini mampu memperoleh majoriti lebih dua pertiga jika penyokong UMNO kembali menyokong parti tersebut.
Beliau berkata, berdasarkan PRK Nenggiri dan Mahkota, pengundi UMNO termasuk dalam kalangan Orang Asli dan orang muda telah kembali memberikan sokongan kepada parti itu.
“Jika diterjemahkan kerjasama PH dan BN pada PRU akan datang, berdasarkan simulasi di Mahkota, Nenggiri dan ditambah pula kesetiaan penyokong UMNO sudah kembali, ia mampu memberi kemenangan kepada Kerajaan Perpaduan dengan majoriti lebih dua pertiga,” katanya. – UTUSAN










