PETALING JAYA: Bitcoin, aset ketujuh terbesar di dunia telah berjaya menembus nilai AS$100,000 hari ini, menunjukkan ia mencapai AS$102,809 (kira-kira RM454,992.82), menurut data Companies Market Cap.
Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia, Siraj Jalil berkata, lonjakan terbaru token tersebut berlaku selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) terpilih, Donald Trump, memilih Paul Atkins untuk mengetuai Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC).
“Harga matawang kripto, terutamanya Bitcoin, kini meningkat selepas perubahan pengurusan di Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC), di mana Paul Atkins yang pro-kripto dilantik sebagai pengerusi baru,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Awal minggu ini, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Global Macro Investor, Raoul Pal telah menyiarkan carta di X yang menunjukkan bahawa Bitcoin boleh membentuk paras tertinggi sementara melebihi AS$110,000 (kira-kira RM491,016.28) menjelang Januari 2025.
Bitcoin kini berada di kedudukan ketujuh sebagai aset termahal dunia berdasarkan nilai pasaran, melebihi syarikat-syarikat seperti Saudi Aramco dan Facebook.
Wang kripto itu mencatatkan harga pada AS$96,416 (kira-kira RM430,380.23) dengan modal pasaran sebanyak sebanyak AS$1.908 trilion (kira-kira RM 8.52 trilion), menurut data Companies Market Cap pada Isnin. – UTUSAN









