KANGAR: Belanjawan Perlis 2025 yang memperuntukan RM303.28 juta iaitu terbesar dalam sejarah negeri ini adalah bagi memastikan Perlis terus berdaya saing ke arah negeri bandar raya menjelang 2030.
Ia juga komitmen kerajaan negeri Perikatan Nasional (PN) bagi memastikan Perlis terus maju sebagai sebuah negeri yang inklusif, berkat dan lestari selaras dengan tema belanjawan kali ini iaitu ‘Perlisku Bestari Berkat Lestari’.
Daripada jumlah peruntukan tersebut, sebanyak RM196.11 juta atau 64.66 peratus disediakan di bawah perbelanjaan mengurus, manakala RM107.17 juta atau 35.34 peratus di bawah perbelanjaan pembangunan.
Secara keseluruhan, perbelanjaan mengurus bagi tahun 2025 meningkat sebanyak RM11.47 juta atau 6.21 peratus berbanding tahun 2024.
Biarpun berdepan cabaran, ekonomi Perlis juga menunjukkan perkembangan positif pada 2023 dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 2.1 peratus dan nilai ditambah mencecah RM6.3 bilion.
Malah, sektor perkhidmatan terus menjadi tonggak utama dan berkembang 2.3 peratus dengan disokong oleh perkhidmatan kerajaan serta sektor perdagangan dan pelancongan.
Pada 2025, anggaran hasil kerajaan negeri juga dijangka meningkat kepada RM122.93 juta meliputi hasil cukai RM23.60 juta, hasil bukan cukai RM28.93 juta dan terimaan bukan hasil sebanyak RM70.40 juta.
Berdasarkan anggaran tersebut juga, kutipan hasil negeri dijangka meningkat sebanyak RM9.7 juta atau 8.6 peratus berbanding tahun 2024.
Belanjawan berkenaan yang dibentangkan Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini semalam, mengenengahkan 20 insiatif iaitu Pelaburan Strategik, Pelancongan Berdaya Saing, Sinergi Sempadan, Perlis Smart Agro, Perluasan Hasil Negeri, Penambahbaikan Infrastruktur, Perlis Berkebajikan dan Skim Kafalah, Pengupayaan Usahawan Tempatan, Pemantapan Pengurusan Perumahan dan Menoktahkan Kemiskinan.
Antara lain, Perlisku Bestari Anjung Madinah, Transformasi Bandar Pintar, Potensi Tenaga Baharu, Perlis Sihat Cergas 2025, Pemerkasaan Pendidikan, Anak Muda Perlis Generasi Bestari, Masyarakat Digital dan Berinformasi, Pelaksanaan e-Tanah, Institut Strategik Perlisku Bestari dan Penjawat Awam.
Dalam belanjawan berkenaan, kerajaan negeri juga fokus kepada memantapkan ekonomi negeri melalui Perlis Invest yang akan menarik pelaburan yang lebih strategik.
Selain itu, kerajaan negeri juga akan terus merancakkan lagi pelancongan, bantuan pendidikan, pembinaan belia dan keprihatinan kepada kebajikan rakyat dengan inisiatif menoktahkan kemiskinan.
“Kita yakin, melalui perancangan kewangan yang strategik dan pelaksanaan yang cekap, aspirasi ini dapat kita capai bersama. Harapan saya juga semua kakitangan kerajaan untuk bekerja dengan lebih komitmen, ikhlas dan berintergriti,” katanya. – UTUSAN