Gators FC bantu bina disiplin, tingkat keyakinan

Bantu bina disiplin, tingkat keyakinan diri melalui bola sepak

PELATIH Gators FC tekun menjalani latihan di Taman Impian Putra Bangi baru-baru ini UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bola sepak bukan sekadar riada untuk menyihatkan badan, tetapi ia kini boleh dijadikan kerjaya dengan pendapatan lumayan dan ini yang dilakukan oleh Gators FC.

Sebab itu sejak kebelakangan ini muncul banyak akademi bola sepak yang menawarkan latihan kepada kanak-kanak seawal usia enam tahun.

Namun tidak semua mereka yang menyertai akademi ini berjaya menjadi pemain profesional. Bagaimana pula dengan mereka yang gagal menempatkan diri dengan kelab-kelab utama?
Bagi Presiden Gators FC, Nulwhoffal Arselan Mohamed, 51, bola sepak tidak boleh dilihat sekadar sukan atau menjadi pemian profesional semata-mata.

Sebaliknya kata beliau, melalui aktiviti sukan ini ia dapat membantu membentuk disiplin dan meningkatkan keyakinan diri dalam kalangan pelajar yang mana ia amat berguna apabila mereka tamat belajar dan memasuki alam pekerjaan.

“Bagi saya, bola sepak hanyalah satu platform. Apa yang penting ialah bagaimana ia dapat membantu membina disiplin, keyakinan diri dan masa depan yang lebih cerah buat anak-anak ini,” katanya.

 

Menurut Nulwhoffal, kelab tersebut ditubuhkan atas inisiatif komuniti setempat yang ingin melihat anak-anak mereka menghabiskan masa cuti hujung minggu dengan aktiviti bermanfaat.

Dalam masa sama, ia berfungsi sebagai platform bagi kanak-kanak dan remaja berlatih bola di samping menerapkan nilai-nilai murni seperti disiplin, kerja berpasukan dan semangat kesukanan dalam diri masing-masing.

“Kami berlatih di padang rumput biasa sahaja. Pada awal penubuhan cuma ada 10 pemain. Namun, tidak ada sesiapa pun yang menyangka kelab kecil dengan permulaan sederhana seperti Gators FC kini berjaya bermain di liga antarabangsa,” jelasnya.

“Lama-kelamaan, jumlah pemain menjadi ramai seperti apa yang kita boleh nampak sekarang. Malah, kini, ada juga ibu bapa yang menjadi jurulatih sambilan,” katanya ketika ditemui Utusan Pelajar.

Seorang pelatih Gators FC, Adam Haziq Ainisyarudin, 10, berkata, dia suka bermain bola kerana ia dapat membantu menjadi lebih yakin dan aktif.

“Walaupun pada mulanya saya tidak pandai bermain, saya terus mencuba setiap kali ada peluang. Biasanya, saya bermain bola sepak di sekolah sebanyak dua kali seminggu. Walaupun hanya bermain secara santai, inilah peluang terbaik untuk saya belajar dan berlatih,” katanya.
Ilman Faris Muzamil, 8, yang bermain sebagai penjaga gol menganggap sukan itu memberi satu cabaran kepadanya.

“Kalau boleh, saya ingin bermain bola sama hebat dengan pemain kegemaran saya, Ronaldo walaupun dia bukanlah seorang penjaga gol. Tapi, beliau merupakan inspirasi utama saya,” ujarnya.

 

 

 

Rata-rata pelatih Gators FC ditemui bersetuju dengan hakikat tersebut di samping mengakui mereka mempunyai idola masing-masing dalam sukan bola sepak yang dijadikan sumber inspirasi.

Bagi Muhammad Aqil Nasrullah, 10, dia memang minat bermain bola sejak kecil.

“Minat inilah yang menjadi motivasi untuk saya terus bermain dan memperbaik skil yang ada. Idola saya ialah Mokhtar Dahari dan Cristiano Ronaldo.

“Saya suka Mokhtar Dahari kerana dia legenda bola sepak Malaysia. Ronaldo pula sebab Mereka ditemui semasa sesi latihan Taman Impian Putra Bangi Selangor baru-baru ini dikendaikan Kelab Gators FC.

Sesi latihan yang dikendalikan tiga jurulatih itu diadakan setiap pagi Sabtu yang melibatkan kira-kira 200 pelajar sekali sesi.

Sementara itu Nulwhoffal memberitahu, pada tahun pertama, Gators FC berjaya mencipta kejutan dalam arena bola sepak tempatan setelah berjaya menewaskan pasukan gergasi, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, PKNS FC.

Katanya, kejayaan tersebutlah yang menjadi titik tolak bagi kelab untuk terus melangkah lebih jauh.

“Pada 2018, Gators FC mengambil keputusan untuk melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa. Bermula dengan kejohanan Singa Cup di Singapura, pemain kelab berpeluang bertemu pasukan ternama, salah satunya adalah Real Madrid.

“Namun, pada tahun itu, kami kalah teruk. Tetapi, menang atau kalah tidak penting. Saya mahu anak-anak ini percaya bahawa dengan usaha dan komitmen, tiada apa yang mustahi,” jelasnya.

Meskipun mengalami kekalahan, perlawanan tersebut berjaya membuka pintu kepada lebih banyak peluang untuk Gators FC beraksi di pentas antarabangsa.

“Selepas itu, kelab menerima jemputan untuk menyertai kejohanan di Bali dan Jakarta, Indonesia. Peluang ini besar maknanya bagi pemain muda,” katanya.
Peluang pelajar ‘terbang’ lebih tinggi

Menurut Nulwhoffal, Gators FC menerima pengiktirafan Piagam SupaRimau oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 2018.

Jelasnya, pengiktirafan tersebut membolehkan Gators FC menganjurkan kejohanan dalaman yang secara tidak langsung memberi peluang kepada pelajar merasai situasi permainan sebenar yang lebih kompetitif.

Tambahnya, kelab tersebut turut bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan bagi memastikan setiap pencapaian pemainnya diiktiraf melalui sijil rasmi.

 

“Sijil itu bukan sekadar simbol penghargaan tetapi juga boleh menjadi batu loncatan untuk pemain melanjutkan pelajaran, terutamanya ke sekolah berasrama penuh atau universiti pilihan,” ujarnya.

Berbangga dengan pencapaian pemain

Dalam pada itu, jurulatih Gators FC, Ainisyarudin Ali, 47, menyatakan rasa bangganya terhadap prestasi pemain kelab yang mampu memberi saingan kepada pasukan luar negara, meskipun ini merupakan kali pertama mereka menyertai liga antarabangsa.

Katanya, walaupun pemain di bawah bimbingannya mempunyai tahap kemahiran yang berbeza, semangat juang mereka sangat luar biasa.

Menurut Ainisyarudin, peningkatan ketara dari segi kemahiran dan mutu permainan para pemain jelas membuktikan komitmen mereka terhadap latihan yang dijalankan.

“Saya yakin bahawa sama ada skuad A atau skuad B, kedua-duanya mampu memberikan persaingan hebat kepada pasukan antarabangsa,” ujarnya. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN