KOTA BHARU: Penduduk di Kuala Krai yang dijangka terjejas dengan gelombang kedua banjir diingatkan supaya berpindah lebih awal sebagai langkah keselamatan agar tidak terkepung di rumah.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat sudah bersiap sedia untuk digerakkan seberapa segera ke lokasi yang terjejas banjir di daerah berkenaan.
Katanya, masyarakat sekeliling perlu peka dengan cuaca ketika ini yang dinamik dan sering berubah semasa musim tengkujuh.
“Justeru, penduduk di Kuala Krai perlu mengambil langkah awal untuk berpindah atau menyelamatkan harta benda terlebih dahulu sebelum pasukan bomba sampai,” katanya pada Program Komuniti Sihat dan Santun Kasih Kota Lama di Dewan Perniagaan Cina, di sini semalam.
Sebelum ini, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan kira-kira 30 kampung di sekitar Kuala Krai, Kelantan akan mengalami banjir bermula hari ini sehingga Jumaat.
Menerusi satu kenyataan, JPS berkata, kampung yang terlibat adalah berada dalam radius lima kilometer berhampiran Sungai Galas, Sungai Lebir dan Sungai Pahi.
Jelasnya, jangkaan tersebut susulan ramalan hujan berterusan tahap waspada oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada Khamis lalu.
Antaranya sekitar Sungai Galas kampung yang terlibat adalah Kampung Mambong, Kampung Dabong, Kampung Kemubu, Kampung Kuala Gris, Kampung Bahagia dan Kampung Biak.