TUMPAT: Solat Jumaat di Masjid As Solihin Mukim Bendang Pak Yong, di sini terpaksa diganti dengan solat Zohor apabila jemaah yang hadir tidak mencukupi 40 orang.
Pekarangan masjid masih digenangi air dan jemaah terpaksa menaiki bot dan ada yang berjalan kaki meredah banjir untuk menunaikan solat.
Imamnya, Anuar Daud berkata, ini kali kedua solat Jumaat tidak dapat dilakukan di masjid ini sejak dilanda banjir selama 10 hari di Kampung Bendang Pak Yong dan beberapa kampung lagi.
Katanya, Jumaat lepas masjid ini tenggelam banjir dan hari ini pula jemaah tidak cukup.
“Yang hadir hanya 20 orang, masih ramai lagi penduduk kampung berada di pusat pemindahan banjir (PPS),” katanya kepada pemberita ketika ditemui di masjid tersebut hari ini. – UTUSAN