Bah tidak seteruk 2010, namun kerosakan sama

Bah tidak seteruk 2010, namun kerosakan sama

PENDUDUK mula membersihkan rumah mereka yang teruk dilanda banjir di Taman Tabung Haji di Kepala Batas, Kubang Pasu. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Penduduk yang tinggal di Taman Tabung Haji, Kepala Batas trauma melihat paras air yang meningkat laju setiap satu jam dalam kejadian banjir pada Khamis lalu.

Ini kerana, situasi dilalui rata-rata mereka pernah dihadapi semasa Kedah dilanda banjir besar pada 2010 yang ketika itu taman perumahan tersebut antara terjejas teruk sehingga ada rumah yang tinggal bumbung.

Menurut seorang mangsa, Mohd. Aswad Azizan, 37, situasi kali ini turut memberikan impak yang sama apabila kesemua perabot dan peralatan elektrik dalam rumahnya rosak terendam air.

“Memang banjir 2010 lebih teruk tetapi kali ini tidak kurang hebatnya impak bencana itu kerana rumah kami tetap dipenuhi lumpur selain air yang melebihi 1.5 meter di sesetengah tempat.

“Kalau diikutkan kerugian yang saya terpaksa tanggung dalam banjir ini dianggarkan mencecah RM20,000 kerana semua barang dalam rumah tak sempat diselamatkan melainkan pakaian yang boleh dicuci semula,” katanya ketika ditemui, semalam.

Sementara itu, Azlan Shah Zakaria, 37, berkata, dia sudah memindahkan barangan ke tempat lebih tinggi pada malam Khamis lalu namun peningkatan air secara mendadak menyebabkan kesemuanya turut tenggelam.

“Habis semua peralatan seperti peti ais, mesin basuh dan perabot rosak. Tetapi barangan-barangan elektrik mungkin ada antaranya boleh dibaiki lagi.

“Saya tidak sangka kali ini akan teruk juga kerana pada September lalu pun air hanya naik sehingga depan rumah sahaja, tidak masuk dalam rumah yang kali ini cecah paras pinggang saya,” katanya.

Dalam pada itu, Rukiah Mahmud, 69, berkata, dia dan suami, Ku Shariman Ku Hashim, 67, kini dalam proses membersihkan rumah yang dipenuhi lumpur selepas ditenggelami banjir hingga paras pinggang.

“Kesemua barang termasuk barangan elektrik habis terendam air. Lantai rumah masih diselaputi lumpur. Saya dan suami tetap akan cuci rumah walaupun terdapat ramalan akan berlaku lagi hujan lebat sepanjang musim tengkujuh ini,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN