KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim digantung selama 10 hari daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selepas didakwa menghina Yang Dipertua Dewan Rakyat melalui sebuah klip video yang dimuat naik di platform TikTok.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr. Johari Abdul berkata, Awang telah mengeluarkan kenyataan menghinanya menerusi platform media sosial itu pada 18 Julai lalu dengan mendakwa Speaker berlaku zalim terhadapnya dan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Katanya, beliau sudah menghantar surat kepada pemimpin Perikatan Nasional (PN) itu pada 22 Julai lalu untuk menarik balik ucapan tersebut dan membuat permohonan maaf tetapi sehingga kini, tiada permohonan maaf dan tindakan yang diambil oleh Awang.
“Saya juga sudah meminta SUDR (Setiausaha Dewan Rakyat) jumpa Yang Berhormat (YB) (dan) minta ketua whip bercakap dengan YB (tetapi) sampai hari ini, YB tidak mengambil apa-apa tindakan.
“Memandangkan YB tidak menarik balik dan memohon maaf kepada saya sebagai Speaker maka saya memerintahkan YB untuk keluar dari Dewan ini untuk tempoh 10 hari berdasarkan Peraturan Mesyuarat 44(2),” katanya semalam.
Keputusan itu dibantah oleh Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee yang menyifatkan Perkara 44 iaitu keputusan untuk menghalau adalah tertakluk kepada sifat dan kelakuan seseorang ahli yang berada di dalam Dewan.
Awang ketika mempertahankan dirinya berkata, beliau tidak memohon maaf kerana berpegang kepada kenyataannya sebelum ini.
Sementara itu, Ahli Parlimen Pendang itu membuat permohonan maaf secara terbuka di Dewan Rakyat berhubung kenyataannya mengenai wang sebanyak RM94 juta ditemukan di kediaman seorang bekas menteri dari DAP pada 4 November lalu.
“Saya menarik balik kenyataan itu dan menukarkan fakta yang salah dari RM94 juta kepada RM97 juta dan bukan menteri (tetapi) pegawai tugas-tugas khas menteri,” katanya sebelum membuat permohonan maaf.
Awang berkata demikian selepas diarahkan oleh Johari untuk membuat permohonan maaf. – UTUSAN










