PORT DICKSON: Seramai 48 individu termasuk 13 individu bukan warganegara ditangkap dalam Ops Belatuk dan Ops Nuri selama 20 hari bermula bulan lalu di daerah ini membabitkan sindiket penipuan atas talian yang menyasarkan mangsa dari luar negara.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Maslan Udin berkata, operasi bermula 14 November hingga 13 Disember itu membabitkan serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Ibu Pejabat Kontinjen Negeri Sembilan dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson di empat lokasi rumah sewa berbeza.
Menurutnya, dalam tangkapan berkenaan, polis telah merampas 271 unit telefon bimbit pelbagai jenama, 44 komputer riba pelbagai jenama, lapan buah kereta serta wang tunai RM10,150 dengan anggaran jumlah keseluruhan rampasan sebanyak RM820,150.
“Dalam tangkapan ini, kesemua tangkapan berusia 19 tahun hingga 40 tahun telah dituduh di bawah Seksyen 420 dan Seksyen 120B (2) Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Port Dickson serta dikenakan hukuman denda antara RM5,000 hingga ke RM7,000.
“Sindiket ini menyasarkan mangsa dari luar negara membabitkan pelaburan dan tawaran tipu pekerjaan tidak wujud secara atas talian. Dijangka, sindiket ini sudah beroperasi di sini sejak dua bulan lalu,” katanya pada sidang media Pelupusan Barang Kes IPD Port Dickson dan Sidang Media Komersial di pekarangan Trafik IPD, di sini hari ini.
Turut hadir, Majistret Uthman Abd. Ghani dan Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan, Hamzah Mohamad.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan pemilik rumah untuk lebih berhati-hati dalam memberikan sewaan terutamanya membabitkan penyewa dalam jumlah yang ramai dan lama.
Sementara itu dalam program berkenaan, barang kes melibatkan 194 kertas siasatan bermula dari tahun 2019 sehingga 2024 yang dianggarkan sebanyak RM 210,000 telah mendapat arahan pelupusan di bawah Seksyen 406A dan 407A Kanun Prosedur Jenayah.
“Barang kes ini berkait dengan kes kontraban, perjudian, barang am dan bitcoin. Barang kes melibatkan bitcoin yang disiasat di bawah Seksyen 427/ 379 Kanun Keseksaan antaranya 282 peralatan mining machine bitcoin, 23 unit blower dan tiga papan distribution.
“Bagi kes kontraban, sebanyak 601 kotak rokok dan 568 karton rokok pelbagai jenama disiasat di bawah Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967 dilupuskan dan kes yang melibatkan perjudian yang meliputi 175 unit telefon bimbit, 107 mesin pencetak mudah alih, kertas slip catatan angka loteri haram, papan bergambar, mangkuk dan dadu.
“Mesin-mesin bitcoin akan dilupuskan secara manual, manakala rokok- rokok akan dibakar melalui kebuk pembakaran oleh syarikat yang dilantik mempunyai pensijilan dari Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk melupuskan aset-aset kerajaan,” katanya. – UTUSAN