Tiada bantuan tembusi utara Gaza sejak 50 hari

Tiada bantuan tembusi utara Gaza sejak 50 hari

KANAK-KANAK Palestin duduk di atas barang keluarga mereka ketika melarikan diri dari kawasan utara Bandar Gaza. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keadaan penduduk di Gaza, Palestin khususnya di kawasan utara semakin membimbangkan dengan krisis kebuluran yang meruncing.

Hampir 50 hari tiada bantuan kemanusiaan sampai ke wilayah utara Gaza termasuk kawasan Jabalia dan Beit Lahia yang me­nempatkan lebih 100,000 hingga 200,000 penduduk.

Pegawai Penyelidik Aqsa Syarif, Megat Aiman Hakim Shariffudin berkata, lebih 93 peratus penduduk di utara Gaza kini berdepan kebuluran yang sangat kritikal.

Katanya, bantuan kemanusiaan hanya dibenarkan masuk dalam kuantiti yang terhad, namun kini bantuan makanan dan air bersih langsung tidak dapat masuk mengakibatkan penduduk di kawasan itu terpaksa bertahan tanpa bekalan asas.

“Tiada satu lori kemanusiaan yang dibenarkan masuk dalam tempoh lebih 50 hari. Lori yang masuk pun hanya untuk kegunaan perniagaan dengan harga yang melambung dan hanya boleh diakses oleh mereka yang mampu.

“Kebanyakan penduduk kini benar-benar menghadapi kebuluran kerana tiada sumber makanan serta minuman. Pembedilan dan serangan udara yang dilakukan oleh rejim Zionis terus meningkat mengakibatkan penduduk di kawasan ini terperangkap tanpa sumber daya mencukupi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Sabtu lalu memberi amaran mengenai krisis yang semakin memuncak di utara Gaza, lapor Agensi Anadolu.

Tambah beliau, situasi perubatan di utara Gaza juga berada pada tahap yang kritikal kerana hospital-hospital menjadi sasaran serangan rejim Zionis, dengan beberapa di antaranya dibom dan diceroboh.

Sementara itu, seorang rakyat Malaysia yang pernah terkandas di Gaza, Nurul Ain Haron, 37, berkata, penduduk Gaza memerlukan bentuk bantuan seperti makanan, air bersih, selimut serta baju sejuk untuk mengharungi musim yang semakin mencabar.

“Kekurangan zat makanan meningkat, bukan sahaja dalam kalangan kanak-kanak, tetapi kepada ibu mengandung. Keadaan ini sangat kritikal kerana ramai ibu mengandung kekurangan tenaga dan nutrisi yang diperlukan untuk melahirkan anak de­ngan selamat,” katanya.

“Selain bantuan makanan dan perubatan, keperluan asas seperti selimut dan pakaian musim sejuk sangat diperlukan oleh mereka yang kini tinggal di kawasan yang suhunya sejuk,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×