KOTA KINABALU: “Tiada apa yang perlu kita nafikan. Ini suara YB mereka, bukan kita pemimpin pembangkang. Takkan kerana mereka yang bersuara, ini perbuatan pembangkang.”
Demikian kenyataan Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mengenai skandal rasuah didakwa membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah yang dikatakan didalangi oleh pembangkang.
Beliau berkata, rakaman suara yang didedahkan itu membabitkan ADUN Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bukan ADUN pembangkang.
“Bukan saya menuduh tetapi mereka yang cakap sendiri, Jadi, biarlah dia siasat tentang kebenaran-kebenaran itu, biarkan pihak berkuasa menjalankan siasatan.
“Saya sokong apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri untuk menyiasat rasuah di negara kita. Tetapi, dalam pada itu kita kena teliti secara mendalam, kita tidak boleh menuduh seumpama itu.
“Perkara-perkara ini perlu disiasat kerana ini datangnya daripada suara-suara mereka, bukan suara pembangkang,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Warisan Sepanggar, di sini hari ini.
Ditanya adakah Warisan menafikan penglibatan dalam pendedahan skandal itu, Mohd. Shafie berkata, tidak ada apa-apa yang perlu dinafikan kerana beliau sendiri tidak pernah melihat rakaman video yang didedahkan.
Ahli Parlimen Semporna itu berkata, beliau hanya melihat rakaman video yang telah dimuat naik dalam Youtube sahaja.
Setakat ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merakam keterangan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah susulan dakwaan skandal rasuah berdasarkan klip video memaparkan perbualan mereka yang disebarkan sebuah portal berita.
Berdasarkan kenyataan SRPM, SPRM Sabah telah menerima aduan mengenai seorang ahli perniagaan yang disyaki terbabit isu dakwaan rasuah berkaitan perolehan projek mineral di negeri tersebut. – UTUSAN










