Serap segera doktorkontrak berkelayakan

Serap segera doktor kontrak berkelayakan

DR. KALWINDER SINGH KHAIRA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu menimbang senarai doktor kontrak berkelayakan yang masih menunggu untuk diserapkan sebagai pegawai perubatan tetap di dalam perkhidmatan awam.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr. Kalwinder Singh Khaira berkata, mereka yang berpengalaman dan berkelayakan wajar diberikan keutamaan untuk berkhidmat dalam sektor kesihatan awam negara.

Justeru, kata beliau, proses rayuan penempatan dalam kalangan doktor kontrak perlu dilakukan secara adil selain mengambil kira keperluan dan jumlah pegawai kesihatan yang sedia ada.

“Namun, kami berharap pertimbangan sewajarnya kepada baki doktor kontrak dalam senarai simpanan.

“Ini kerana bagi mengekalkan perkhidmatan semua tulang belakang sistem penjagaan kesihatan dengan melihat individu berkelayakan adalah lebih baik demi kestabilan dan masa depan kesihatan awam negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Minggu lalu, Kementerian Kesihatan memaklumkan, sebanyak 3,200 pegawai perubatan, 350 pegawai pergigian dan 400 pegawai farmasi yang memohon lantikan kontrak dilantik secara tetap oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) pada 21 Oktober lalu.

Kementerian itu dalam ke­nyataan menjelaskan, mana-mana calon yang berhasrat membuat rayuan pertukaran penempatan boleh dibuat menerusi Google Form yang disediakan dalam sistem e-Placement.

Mengulas lanjut, Dr Kalwin­der berkata, pihaknya mahu proses pemilihan jawatan doktor tetap dilakukan secara adil dan telus.

Katanya, perkara itu bukan sahaja mengambil kira daripada segi kelayakan, namun keperluan dan permintaan doktor di negara kepada nisbah pesakit untuk mencapai sistem kesihatan awam yang lebih berkualiti.

“Kami juga berharap penempatan akhir sebenar di fasiliti penjagaan kesihatan doktor adalah adil dengan mengambil kira keperluan jumlah tenaga kerja di fasiliti penjagaan kesihatan.

“Oleh demikian rayuan yang harus dipertimbangkan adalah berdasarkan alasan yang sah terutama mereka sudah menjalani latihan serta mengemukakan rayuan agar terus ber­khidmat di tempat kerja semasa mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Jurucakap Hartal Doktor Kontrak, Dr. Muhammad Yassin menggesa kerajaan mengambil tindakan lebih menyeluruh untuk memastikan doktor kontrak mendapat jaminan kerjaya yang stabil.

Beliau berkata, isu tersebut perlu dipandang serius demi menjaga kebajikan pegawai perubatan yang menyumbang secara signifikan kepada sektor kesihatan negara.

“Apabila doktor kontrak tidak mempunyai jaminan kerjaya yang kukuh, ia secara langsung akan memberi kesan kepada komitmen dan kualiti perkhidmatan kesihatan awam.

“Masalah dialami oleh doktor kontrak dilihat semakin berlarutan, kumpulan itu juga terpaksa berdepan dengan kadar on call tidak setimpal dengan kerja lebih masa kerana kekurangan kakitangan,” katanya.

Justeru, Muhammad Yassin berkata, pihaknya mengharapkan lebih banyak tawaran tetap bagi menangani krisis kekurangan doktor di sektor kesihatan yang semakin meruncing saban hari. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN