‘Saya bukan Robin Hood, hanya bertindak adil’

‘Saya bukan Robin Hood, hanya bertindak adil’

ANWAR Ibrahim dalam Program Temu Anwar di Universiti Pertahanan Nasional (UPNM) di Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hairan dengan sikap segelintir ahli Parlimen yang membantah tindakan kerajaan berhubung penyasaran subsidi dalam kalangan T15.

Katanya, beliau bukanlah ‘Ro­bin Hood’ seperti yang di­dakwa sesetengah pihak apabila memperkenalkan rasiona­lisasi subsidi terhadap golongan T15 dalam Belanjawan 2025, baru-baru ini.

Sebaliknya Anwar berkata, beliau hanya bertindak adil dalam membantu golongan berpendapatan rendah di negara ini

“Kita sedang kaji pendapatan sebenar T15. Tetapi ba­gaimana dengan pendapatan RM100,000 sebulan, ada juga sejuta pendapatan.

“Tetapi ada perdebatan di Parlimen, saya hairan dengan bagaimana pula? Lagi ramai ahli Parlimen yang mempertahankan T15 berbanding rakyat yang (jumlah) 85 peratus,” katanya dalam Program Temu Anwar di Universiti Pertahanan Nasional (UPNM) di sini, semalam.

Anwar berkata, Malaysia ada­lah antara negara yang mem­berikan subsidi tertinggi dan sistem pencukaian terendah di dunia.

“Kalau kita nak jaga golo­ngan miskin, kita mesti ada sumber yang cukup. Kita mewarisi hutang sehingga RM1.5 trilion dan kita tidak mahu cukai rakyat. Cuma kita cukai sedikit terhadap golongan maha kaya.

“Itu bukan Robin Hood, tetapi hanya menarik subsidi. Ba­yangkan, ada golongan terkaya di negara ini, di mana polisi kita sebelum ini mereka dapat subsidi elektrik daripada kerajaan.

“Kerajaan cuma mahu mereka bayar harga kos, bagi saya itu adil. Jika ada pihak yang nak jadikan isu politik, tidak adil dan tidak munasabah, itu hak mereka,” katanya.

Sementara itu, Perdana Men­­teri berkata, dunia Islam khu­­susnya Pertubuhan Kerja­sama Islam (OIC) seharusnya dilihat tegas berhubung soal konflik Timur Tengah khusus­nya membabitkan serangan di Gaza, Palestin.

Menurut Anwar, negara Islam perlu ada kekuatan untuk merungkai isu tersebut dan akan dilihat lemah jika gagal berbuat demikian.

Katanya, beliau telah dimin­ta untuk menghadiri Persida­ngan Khas OIC yang berlangsung di Riyadh, Arab Saudi.

“Semalam Putera Mohammed Salman (Putera Mahkota Arab Saudi) maklum ada Persidangan Khas OIC di Riyadh, minta saya hadir.

“Saya jawab insya-Allah cu­ba, tetapi saya kata harus ada (nampak) kuat sikit, kalau tidak, kita nampak lemah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN