PETALING JAYA: Pembangkang ketandusan pemimpin berwibawa sehingga sanggup menawarkan Barisan Nasional (BN) untuk bekerjasama walaupun negara sudah ke arah mencapai kestabilan politik.
Pengarah dan Pengasas Institut Kajian Etnik UKM (KITA-UKM), Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin berkata, perkara ini dilihat sebagai tindakan terdesak pembangkang untuk berkuasa.
Katanya, tidak dinafikan Perikatan Nasional (PN) kuat di Semenanjung tetapi tidak mendapat sokongan kukuh di Sabah dan Sarawak.
“BN dalam Kerajaan Perpaduan membawa pengalaman yang kukuh, malah pemimpinnya berpotensi menjadi calon Perdana Menteri.
“Walau bagaimanapun, hubungan dengan DAP menjadi cabaran kerana sebahagian pemimpin UMNO kurang senang dengan pengaruh dan sikap pemimpin muda DAP,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan wujud usaha memujuk BN untuk keluar Kerajaan Perpaduan dengan menawarkan jawatan PM.
Pengerusi BN itu yang juga Timbalan Perdana Menteri mendedahkan, wujud usaha baharu oleh pihak tertentu untuk mengganggu kestabilan Kerajaan Perpaduan pimpinan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengulas lanjut, Shamsul Amri berkata, hal ini berlaku kerana jika terbentuknya UMNO-PN, ia mampu menjadi kuasa dominan dengan tawaran kepimpinan lebih kuat berbanding PN secara solo.
“PN sekarang tidak ada calon yang terserlah dan berpengalaman, terutama sebagai aktor dalam pentas politik antarabangsa. Kuat berkokok tapi tak kedengaran di seberang laut,” katanya.
Dalam pada itu, penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Dr. Mazlan Ali berkata, sokongan UMNO, BN, parti dari Sarawak dan GPS dari Sabah telah mengukuhkan Kerajaan Madani.
Katanya, formasi itu boleh memenangi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) sekiranya kerjasama BN dan parti Sabah Sarawak itu diteruskan.
“Pendedahan semalam tidak hairan sebab sebelum ini pun pembangkang sudah cuba pelbagai langkah mahu mengambil alih kerajaan, tetapi tidak berjaya. Saya yakin Ahmad Zahid sedar pujukan itu tidak membawa untung pun.
“Beliau pernah sebut kerjasama dengan PH mungkin diteruskan dalam PRU-16 akan datang dan beliau yakin tidak akan berlaku pertindihan kerana mereka akan berbincang dalam hubungan keluarga yang akrab,” katanya. – UTUSAN











