KUALA LUMPUR: Blok pembangkang sedia dan tidak takut mengisytiharkan harta seperti yang digariskan dalam memorandum persefahaman (MoU) berkaitan penyaluran peruntukan.
Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, mereka tidak bersetuju dan selesa dengan satu daripada syarat MoU tersebut, iaitu pemimpin pembangkang tidak boleh membangkang kerajaan.
“Atas prinsip itu, saya rasa ia tidak menepati definisi politik dan demokrasi yang sebenar. Kami tidak takut untuk isytihar harta, saya pun tidak ada apa nak diisytiharkan.
“Tetapi itu bukan isu utama, isu utama adalah mesti mengembalikan fungsi sebenar kerajaan dan pembangkang. Bersama-sama membangun serta membina negara,” katanya semasa membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, Afnan Hamimi berkata, golongan belia pada hari ini memerlukan dan mahu politik yang lebih segar, matang serta sejahtera.
“Matang merujuk kepada cara membuat keputusan melibatkan beberapa pihak, melibatkan pihak yang pakar, melantik yang pakar dan mengetuai sesuatu jawatankuasa atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Jangan lantik kroni, orang atau kawan-kawan yang tidak mempunyai kebolehan, ini akan mengakibatkan sesuatu syarikat atau GLC itu rosak. Kita tengok apa yang berlaku dalam Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) yang berlaku kepincangan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan perlu memastikan apa sahaja keputusan memberi kesejahteraan kepada semua pihak tanpa mengira warna parti politik, bangsa dan agama. – UTUSAN