KANGAR: Malaysia perlu mengambil langkah atau strategi penyimpanan sumber air mencukupi bagi mendepani perubahan cuaca melampau atau cuaca ekstrem kemarau dan hujan lebat luar biasa yang diramal bermula tahun depan.
Ahli Panel Penasihat Perubahan Iklim, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dr. Mohmad Asari Daud berkata, satu daripada strategi yang patut diambil adalah penyimpanan sumber air yang berlebihan di musim tengkujuh untuk kegunaan musim kemarau.
Katanya, secara lazimnya musim kemarau berlarutan selama tiga hingga empat bulan dan penyimpanan yang disediakan itu harus mencukupi untuk kegunaan sepanjang tempoh kemarau berkenaan.
“Antara jenis penyimpanan adalah seperti sistem takungan air (ORS) seperti takungan air pinggiran sungai (TAPS), takungan hiliran, takungan estuarian, takungan ban dan seumpamanya. Apa yang penting air yang simpanan berlebihan ketika musim kemarau itu dapat dituai dan disimpan sebelum ia mengalir ke laut.
“Ini sekali gus mengurangkan impak banjir kerana sebahagian air banjir dapat disimpan secara selamat daripada dibiarkan menenggelami kawasan yang rendah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan, Malaysia diramal berdepan perubahan cuaca melampau atau cuaca ekstrem seperti hujan lebat luar biasa dan kemarau panjang bermula tahun depan.
Bagaimanapun, Malaysia dilihat masih belum bersedia sepenuhnya untuk menghadapi situasi tersebut.
Mohmad Asari berkata, negara tidak boleh memandang ringan perubahan iklim yang berlaku kerana ia membawa pelbagai impak terutama ke atas sektor pertanian melibatkan soal keterjaminan makanan negara selain menjadi cabaran besar buat negara pada masa depan dengan perlu diberi perhatian serius, iaitu bagaimana Malaysia mampu mendepaninya.
Kata beliau, dalam tempoh lima tahun ini, negara mungkin berdepan dua peristiwa besar iaitu kemarau dan banjir ekstrem dengan ada beberapa kajian dan ramalan berhubung boleh berlaku seawal tahun depan.
“Banjir ekstrem mungkin berlaku di Pantai Barat manakala kemarau di Pantai Timur. Ia masih di peringkat ramalan, akan berlaku kemarau ekstrem pada 2026, diikuti banjir mungkin sekali atau dua kali,” katanya. – UTUSAN










