PETALING JAYA: Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) memohon agar harga lantai padi dinaikkan kepada RM1,800 bagi mengimbangi peningkatan kos operasi bersawah.
Pengerusinya, Abdul Rashid Yob berkata, kenaikan peruntukan itu merangkumi kos benih, minyak diesel, pembajakan dan menuai.
Katanya, penambahan harga padi itu membolehkan pesawah mendapat keuntungan sekurang-kurangnya RM966 per hektar sebulan.
“Kami memohon agar harga minimum terjamin padi dinaikkan kepada RM1,800 daripada RM1400 bagi mengimbangi kos operasi bersawah.
“Kenaikan harga minimum itu membolehkan pesawah mendapat RM5,800 keuntungan atau RM966 sebulan per hektar, paling minimum,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu membangkitkan isu harga beras tempatan yang dilihat terlalu rendah.
Menurut Mohamad, berdasarkan pandangan pemain industri, harga kawalan tidak kompetitif menjadi cabaran utama kekurangan bekalan beras putih tempatan di pasaran.
Mengulas lanjut, Abdul Rashid berkata, harga beras tempatan juga perlu ditambah kepada RM3.70 sekilogram berbanding RM2.60 sekilogram.
Katanya, pengekalan harga beras selama 16 tahun memberikan tekanan kewangan kepada pesawah kerana perlu menanggung kos lain yang kian meningkat.
“Harga beras tidak pernah dinaikkan selama 16 tahun sedangkan harga barang-barang lain telah meningkat secara mendadak.
“Ini memberi tekanan kewangan yang berat kepada pesawah kerana terpaksa menanggung kos yang semakin tinggi.
“Pada akhirnya, ia membebankan kami dalam membantu kerajaan bagi memastikan keterjaminan makanan rakyat,” katanya. – UTUSAN










