PETALING JAYA: Monsun Timur Laut (MTL) atau lebih dikenali sebagai musim tengkujuh dijangka bermula 5 November ini dan berterusan sehingga Mac depan.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, dari November hingga Disember ini, hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah manakala dari Januari hingga Februari depan di Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.
Menurutnya, sekiranya luruan monsun yang berlaku adalah kuat dan wujud cuaca tekanan rendah, hujan lebat berterusan boleh berlaku di negeri-negeri lain.
“Sekiranya hujan lebat berterusan berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar dan luruan ribut, risiko kejadian banjir boleh berlaku malah mampu menjadi lebih ekstrem.
“Tiupan angin timur laut secara berterusan dan kencang juga boleh menyebabkan laut bergelora, risiko kenaikan paras laut dan ombak besar di perairan Laut China Selatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Hisham berkata, menjelang fasa akhir MTL iaitu Januari hingga Mac 2025, kawasan utara Semenanjung dijangka mengalami kurang hujan.
Jelasnya, keadaan ini akan menyebabkan cuaca panas dan kering serta berpotensi berlaku gelombang haba.
“Namun begitu, keadaan diramalkan tidak seteruk seperti 2024 disebabkan fenomena La Nina dijangka bermula hujung tahun ini hingga pertengahan tahun hadapan.
“Orang ramai dinasihatkan agar bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh serta sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh MetMalaysia di laman web www.met.gov.my, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi,” ujarnya. – UTUSAN