PETALING JAYA: Mekanisme sedia ada dalam menangani kes penderaan kanak-kanak di Malaysia perlu dipertingkatkan bagi memastikan golongan berkenaan terus dilindungi.
Ini susulan 2,240 kes penderaan kanak-kanak direkodkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di seluruh negara sehingga Ogos lalu.
Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Prof. Datuk Noor Aziah Mohd. Awal berkata, program kesedaran dan pendidikan awam perlu diperluaskan bagi membanteras isu penderaan kanak-kanak secara menyeluruh.
Katanya, masyarakat perlu dididik mengenai tanda-tanda penderaan dan prosedur untuk melaporkannya bagi memastikan keselamatan kanak-kanak sentiasa terjamin.
“Kita memerlukan kempen yang lebih agresif melalui media massa dan media sosial agar maklumat ini sampai kepada setiap lapisan masyarakat.
“Melindungi kanak-kanak adalah tanggungjawab bersama. Kita harus memastikan mereka membesar dalam persekitaran yang selamat, sihat dan bebas daripada sebarang bentuk penderaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri dilaporkan berkata, kes penderaan kanak-kanak membabitkan tiga kategori iaitu fizikal, seksual dan emosi.
Sementara itu, Pakar Psikologi Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Madya Dr. Fauziah Mohd. Sa’ad berkata, penderaan boleh mendatangkan kesan jangka panjang terhadap mangsa yang mengalaminya.
Katanya, ini termasuk risiko gangguan stres pasca trauma (PTSD), masalah kesihatan mental seperti kemurungan berpanjangan serta kesukaran dalam membina hubungan sosial dan interpersonal.
“Penderaan dari segi seksual boleh mengakibatkan mangsa berasa malu, bersalah dan takut manakala penderaan emosi pula boleh membawa kepada kehilangan keyakinan diri, kemurungan dan kebimbangan yang ketara.
“Kanak-kanak yang didera juga berisiko tinggi mengalami gangguan tingkah laku seperti agresif atau ketakutan melampau yang boleh mempengaruhi kualiti kehidupan mereka apabila dewasa,” katanya.
Tambah beliau, intervensi awal dan sokongan psikologi memainkan peranan penting dalam membantu mangsa mengatasi trauma serta memulihkan keyakinan diri mereka.
“Pendekatan seperti terapi individu dan keluarga mampu mengurangkan kesan negatif penderaan dan membantu kanak-kanak membina kehidupan yang lebih positif,” katanya. – UTUSAN











