KUALA LUMPUR: Datuk Seri Fadillah Yusof menekankan peri pentingnya peranan pengamal media sebagai rakan komunikasi strategik kerajaan bagi membendung elemen negatif yang semakin menular di media sosial.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, selain melaporkan kes-kes seperti buli siber dan penipuan, pengamal media juga mempunyai tanggungjawab besar untuk menjadi “perisai” dalam menangkis penyebaran berita palsu yang memenuhi platform digital.
“Pengamal media perlu bertanggungjawab dalam memainkan peranan sebagai benteng terhadap maklumat tidak sahih dan menyebarkan kesedaran tentang bahayanya jenayah media sosial,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala Jubli Intan Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJM) di sini, malam ini.
Fadillah turut menegaskan kepentingan media arus perdana dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai ancaman yang boleh timbul jika terjerumus dengan jenayah siber.
Menurutnya, kerjasama antara kerajaan dan media perlu diperkukuh bagi memastikan maklumat tepat sampai kepada rakyat.
Tambahnya, dalam dunia digital yang semakin pesat berkembang dengan kehadiran teknologi kecerdasan buatan (AI), pengamal media kini berdepan dengan cabaran untuk memastikan maklumat yang disebarkan tepat dan tidak mencetuskan keresahan masyarakat.
Beliau juga mendedahkan bahawa kerajaan akan membentangkan Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian di Dewan Rakyat tidak lama lagi.
Langkah ini diambil untuk memperkukuh undang-undang bagi menangani pelbagai jenayah siber, termasuk hasutan dan fitnah di media sosial yang berpotensi menjejaskan keharmonian negara.
“Media arus perdana perlu meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai ancaman jenayah siber serta risiko terjebak dengan jenayah di platform digital,” tambahnya.
Dalam perkembangan sama, Fadilah turut mengumumkan peruntukan RM150,000 kepada NUJM untuk membantu kesatuan tersebut memperkukuhkan peranan dalam menjaga kebajikan wartawan dan pekerja media di Malaysia, yang kini berdepan cabaran ekonomi yang semakin mencabar.
Beliau juga menyentuh tentang inisiatif menubuhkan Majlis Media Malaysia, di mana kerajaan berharap pengamal media dan kesatuan sekerja akan bersama-sama menjayakan penubuhan majlis ini bagi memastikan profesion kewartawanan terus relevan dan berkembang maju.
Pada majlis itu, beberapa anugerah turut disampaikan, antaranya Anugerah Kepimpinan Wanita kepada Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan Media Prima, Farrah Naz Abd Karim dan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat kepada Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman. – UTUSAN











