KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dilihat terlalu bergantung kepada Boustead Holdings Berhad, kata Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
Katanya, perkara itu perlu diberi perhatian yang serius dan diambil tindakan segera oleh Kementerian Pertahanan (Mindef) dan LTAT sendiri.
Kata beliau, penyusutan hampir RM5 bilion dana tabung persaraan LTAT yang bukan sahaja menyebabkan lembaga itu tidak berkemampuan membayar dividen kepada pencarum tetapi turut boleh menyebabkan mereka kehilangan dana.
“PAC berpendapat bahawa pelan penstrukturan semula Boustead Holdings yang dilancarkan pada Julai 2023 sebagai inisiatif utama dalam Pelan Strategik LTAT 2023-2025 adalah satu pelan yang praktikal.
“Pelan ini bukan sahaja mengurangkan kebergantungan LTAT kepada Boustead Holdings malah akan mempelbagaikan pelaburan LTAT dalam aset-aset yang berkualiti lain,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
PAC membentangkan laporan berhubung LTAT selepas isu tabung berkenaan dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2022.
Mas Ermieyati berkata, keputusan Mindef untuk menghentikan pelan penstrukturan semula yang sudah mula dilaksanakan membantutkan perjalanan transformasi lembaga itu yang perlu dilaksanakan dengan segera dan menyeluruh.
Dalam pada itu, beliau berkata, PAC memandang serius penjualan tanah milik Boustead Holdings.
Jelasnya, terkini, dilaporkan bahawa EcoWorld telah membeli tanah seluas 342.87 hektar di koridor Semenyih dengan nilai RM742.4 juta.
“Sebelum itu, dilaporkan tanah milik Boustead Holdings seluas 485.6 hektar dengan anggaran nilai RM400 juta turut dalam proses penjualan,’’ katanya. – UTUSAN










