PETALING JAYA: Penglibatan pihak ketiga terhadap pelaburan dalam industri fesyen khususnya melibatkan FashionValet Sdn. Bhd. (FashionValet) perlu dijalankan bagi memastikan ketelusan dan keberkesanan dalam pengurusan dana awam.
Penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul
Rashid berkata, langkah itu wajar dilaksanakan kerana ia melibatkan kewangan negara di mana dana awam disalurkan kepada syarikat tersebut melalui dua entiti pelaburan kerajaan iaitu Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah).
Katanya, penilaian secara lebih teliti bukan sahaja dapat mengesan sebarang kelemahan atau kesilapan dalam pelaburan yang dibuat, malah dapat memberi panduan agar dana awam dilaburkan dengan lebih berkesan pada masa hadapan.
“Dana pelaburan yang signi kan sebanyak RM47 juta oleh dua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) tersebut wajar diteliti melalui penilaian bebas oleh pihak ketiga.
“Keputusan penilaian ini juga hendaklah dikongsikan secara telus kepada rakyat seiring dengan tatakelola yang ditekankan oleh kerajaan Madani. Dengan cara ini, pengurusan dana awam dapat dilaksanakan dengan penuh integriti dan akauntabiliti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Aimi Zulhazmi berkata, pelaburan dalam industri fesyen mempunyai risiko tersendiri dan memerlukan strategi mitigasi yang teliti.
Katanya, pelbagai faktor dalaman dan luaran mempengaruhi sektor berikut dan ini bermakna satu penilaian mendalam perlu dilakukan bagi melindungi kepentingan awam.
“FashionValet yang ditubuhkan sejak 2010 tidak boleh dianggap sebagai syarikat pemula apabila PNB dan Khazanah mula melabur pada tahun 2018,” katanya. – UTUSAN