KUANTAN: Lebih 1,000 jemaah hadir program Subuh Macam Raya anjuran Masjid Imam Ash-Shafie KotaSAS (MIASK) dengan kerjasama Kotasas Badminton Club (KSBC) semalam.
Pengerusi MIASK, Izudin Muhamad Amin berkata, program berkenaan bertujuan menyemarakkan lagi solat subuh dalam kalangan penduduk setempat membabitkan 16 kejiranan di KotaSas.
“Menerusi program ini, kita berharap jumlah jemaah yang mengerjakan solat subuh di masjid ini akan bertambah dari semasa ke semasa seperti solat Jumaat.
“Selain itu, ia juga landasan memupuk semangat para jemaah bagi lebih mengimarahkan masjid,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Selain Subuh Macam Raya, turut diadakan larian Rentas Kota sejauh lima kilometer bersama 1,000 kejiranan KotaSas.
Izudin berkata, dua program berkenaan iaitu Subuh Macam Raya dan Rentas Kota diadakan bagi merapatkan silaturahim dalam kalangan penduduk.
“Ini bagi membuka peluang penduduk untuk saling mengenali sekali gus membawa kepada persefahaman dalam menyelesaikan apa sahaja isu atau masalah,” ujarnya.
Bersempena program itu, lebih 100 hadiah cabutan bertuah disediakan dengan anggaran nilai keseluruhan berjumlah RM30,000 berupa motosikal elektrik, skuter elektrik, televisyen, basikal lipat, peralatan kegiatan luar dan beberapa hadiah sampingan.
Pengarah bersama program tersebut, Mohd. Izhar Izaidin Yahya memberitahu, perancangan sudah diatur sejak dua bulan lalu melibatkan wakil-wakil penduduk.
“Kami mendapat kerjasama semua pihak termasuk pengurusan KotaSAS sendiri. Menerusi program ini, diharap apa jua perancangan untuk penduduk pada masa hadapan dapat jadikan realiti,” katanya.
Seorang jemaah ingin dikenali sebagai Halim berkata, program itu perlu diadakan secara berterusan kerana ia baik bagi menggalakkan amalan menunaikan solat subuh secara berjemaah di masjid secara berterusan.
“Program ini juga dapat memeriahkan lagi masjid menerusi aktiviti keagamaan bersama komuniti setempat dan menjadi tempat perkongsian ilmu,” katanya. – UTUSAN