PETALING JAYA: Golongan belia luar bandar yang berhijrah ke Kuala Lumpur atau bandar-bandar besar lain di Lembah Klang sukar merealisasikan hasrat untuk mengubah masa depan diri sendiri dan keluarga.
Walaupun bekerja di Kuala Lumpur dengan dibayar gaji pada kadar tertinggi berbanding negeri-negeri lain iaitu RM4,193 mengikut Banci Ekonomi 2023, ia tidak mampu menampung kos sara hidup di ibu negara.
Panduan Belanjawanku 2022/ 2023 yang diterbitkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC) Universiti Malaya (UM) menunjukkan kos hidup di Lembah Klang meningkat.
Bagi golongan bujang mereka memerlukan sekurang-kurangnya RM1,930, pasangan suami isteri tanpa anak (RM4,630) manakala pasangan suami isteri dengan dua anak pula memerlukan sebanyak RM6,890 untuk menampung kehidupan mereka.
Belanjawanku 2022/2023 menjelaskan, bagi golongan bujang yang baru memulakan kerjaya dan menggunakan pengangkutan awam dengan kos hidup RM1,930, mereka memerlukan peningkatan kewangan sebanyak 35 peratus bagi memiliki kereta dengan kos hidup sebanyak RM2,600.
Bagi pasangan baru berkahwin tanpa anak yang menanggung kos hidup sebanyak RM4,630 memerlukan peningkatkan kewangan sebanyak 29 peratus iaitu kepada RM5,980 sekiranya mahu memiliki anak dan tambahan 15 peratus (RM6,890) jika ingin menimbang dua cahaya mata.
Pakar Sosial Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, migrasi penduduk luar bandar adalah disebabkan ekspektasi bahawa penghijrahan tersebut mampu memberi kumpulan tersebut peluang pekerjaan yang luas sekali gus mengubah corak kehidupan ke arah lebih selesa.
Menurut beliau, migrasi penduduk luar bandar dengan harapan yang tinggi itu dilihat meningkat sejak lima tahun sebelum ini dan tanggapan tersebut sebenarnya perlu diperbetulkan.
“Semua masyarakat di dunia berhasrat, bercita-cita untuk mengubah kehidupan mereka termasuk rakyat Malaysia. Keadaan ini lebih ketara atau mendesak sejak kebelakangan ini kerana kadar harga barang atau kos sara hidup sudah berbeza berbanding 10 ke 15 tahun lalu.
“Namun, cita-cita itu jarang kali mencapai seperti mana yang dihasratkan. Ramai dalam kalangan mereka yang berhijrah itu mendapati ‘keindahan’ cerita mengenai kehidupan di bandar bahawa mampu memberi mereka segala-galanya tidaklah begitu tepat.
“Ini kerana perbezaan kos yang tinggi dan sebagainya. Jadi gaji diperoleh mereka itu apabila dicampur tolak, lebih kurang dengan keadaan semasa mereka berada di luar bandar dan kadang-kadang lebih teruk,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Oleh kerana kesedaran terhadap masalah tersebut, katanya, kerajaan sudah melakukan usaha untuk memindahkan industri-industri yang berada di bandar ke luar bandar bagi menoktahkan tanggapan tersebut sebelum ini.
“Penghijrahan ini akan menyebabkan dua implikasi iaitu kurangnya tenaga kerja di luar bandar dan ketidakmampuan menanggung kos hidup. Justeru, antara usaha-usaha dilakukan adalah membawa industri ke luar bandar.
“Ini supaya dengan kewujudan industri dan peluang pekerjaan di luar bandar maka diharapkan kita dapat mengelakkan penghijrahan secara besar-besaran, selain mengelakkan senario ekspektasi yang tinggi itu,” jelasnya.
Dalam pada itu, Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, demografi penduduk di bandar tidak boleh dinafikan bahawa kebanyakannya datang dari luar bandar.
Jelasnya, perkara tersebut menyebabkan saingan sengit terutama bagi golongan belia dalam mendapatkan peluang pekerjaan yang menjanjikan gaji tinggi.
“Kalau kita lihat gaji median masih lagi RM2,804. Ini bermakna walau kita ada 16 juta pekerja tetapi separuh daripadanya iaitu lapan juta pekerja masih lagi menerima gaji daripada bawah kadar tersebut.
“Kita juga sudah sedia maklum bahawa kos sara hidup di bandar memang tinggi,” katanya.
Beliau berkata, untuk menampung kos sara hidup di bandar, pekerja-pekerja berkenaan terpaksa membuat dua atau tiga kerja termasuk di dalam industri ekonomi gig iaitu menjadi penghantar makanan dan seumpamanya.
Tambahnya, golongan tersebut perlu menambah atau mengasah kemahiran mereka untuk membantu diri dalam mendapatkan pekerjaan yang menawarkan gaji lumayan.
“Selain kerajaan memperkenalkan Dasar Gaji Progresif (DGP) dan menaikkan gaji minima ke RM1,700, itu tidak mampu memberi manfaat kepada pekerja sekiranya mereka sendiri tidak mengambil peluang untuk menambah atau mengasah kemahiran mereka.
“Kita perlu memastikan kemahiran dapat ditingkatkan melalui inisiatif atau program yang disediakan kerajaan supaya kita tidak kekal di takuk lama tetapi mampu mendapatkan pekerjaan yang memerlukan kemahiran tinggi untuk memperoleh pendapatan lumayan,” jelasnya. – UTUSAN










