Kes seksual, pornografi kanak-kanak meningkat

Kes seksual, pornografi kanak-kanak meningkat

KESALAHAN amang seksual secara bukan fizikal dan pornografi kanak-kanak masing-ma­sing merekodkan 91 kes dan 67 kes pada tahun lalu. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bilangan kes kesalahan seksual melibatkan kanak-kanak yang dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) meningkat 26.5 peratus pada tahun lalu berbanding tahun 2022.

Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan tersebut mencatatkan rekod sebanyak 1,567 kes berbanding tahun sebelumnya iaitu 1,239 kes.

MOHD. UZIR MAHIDIN

Selain itu katanya, kesalahan amang seksual secara fizikal pada tahun lalu turut merekodkan peningkatan ketara seba­nyak 21.1 peratus iaitu 1,389 kes berbanding 1,147 kes pada 2022.

“Kesalahan amang seksual secara bukan fizikal dan pornografi kanak-kanak masing-ma­sing merekodkan 91 kes dan 67 kes pada tahun sama,” katanya.

Sebagai rekod, berdasarkan statistik anggaran penduduk 2024, kanak-kanak di bawah umur 18 tahun adalah berjumlah 9.14 juta, iaitu 26.9 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia, 34.06 juta.

Utusan Malaysia kelmarin melaporkan platform media sosial menjadi lubuk aktiviti pedofilia dengan menyasarkan kanak-kanak dan remaja naif sebagai mangsa.

Menurut laporan itu lagi, dengan kemudahan komunikasi dan keboleh capaian tinggi, penjenayah ini berupaya menyamar sebagai individu yang boleh dipercayai dalam membina hubungan dan memanipulasi mangsa dengan mudah.

Dalam pada itu, Mohd. Uzir berkata, bilangan kanak-kanak lelaki adalah 4.72 juta manakala 4.42 juta bagi kanak-kanak perempuan.

“Komposisi kanak-kanak di bawah umur lima tahun pada 2024 ialah 2.36 juta atau 6.9 peratus daripada jumlah kanak-kanak di Malaysia.

“Bilangan kanak-kanak lelaki dan perempuan di bawah umur lima tahun masing-masing ialah 1.22 juta dan 1.14 juta,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sementara itu Mohd. Uzir yang menyentuh perspektif perlindungan kanak-kanak berkata, bilangan mereka yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan direkodkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada 2023 meningkat 26.1 peratus kepada 8,536 orang berbanding 6,770 kanak-kanak pada 2022.

“Bilangan kanak-kanak perempuan yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan mencatatkan lebih ramai iaitu 5,418 kanak-kanak berbanding kanak-kanak lelaki, 3,118 orang.

“Walau bagaimanapun, kanak-kanak lelaki yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan mencatatkan peningkatan lebih tinggi iaitu 26.4 peratus berbanding 25.9 peratus kanak-kanak perempuan dalam pada tempoh sama,” jelasnya.

Berkenaan aspek pendidikan pula, Mohd. Uzir berkata, bilangan murid di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan pada 2023 meningkat 4.6 peratus daripada 4,962,900 murid pada tahun 2022 kepada 5,192,600 murid.

“Bilangan murid di sekolah swasta turut merekodkan peningkatan 3.6 peratus kepada 442,900 murid daripada 427,600 murid pada 2022,” ujarnya.

Berkenaan aspek kesihatan, Jabatan Perangkaan dalam masa yang sama turut mendapati keadaan tertentu yang berpunca daripada tempoh perinatal erythroblastosis fetalis (kondisi ketika sistem imun tubuh ibu menyerang sel darah merah janinnya) kekal menjadi sebab kematian utama bagi kanak-kanak kurang daripada lima tahun pada 2023 dengan 36.4 peratus.

“Ia diikuti kecacatan kongenital, ubah bentuk dan abnormal kromosom (27.5 peratus), radang paru-paru (2.6 peratus), kemalangan pengangkutan (1.5 peratus) dan meningitis (0.7 peratus),” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN