Jangan biar pisang berbuah dua kali - Bapa Zulfarhan

Jangan biar pisang berbuah dua kali – Bapa Zulfarhan

DIHARAPKAN semoga tragedi yang menimpa Zulfarhan Osman menjadi pengajaran di peringkat institusi pengajian tinggi untuk lebih amanah dalam mengatasi isu berkaitan buli.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gambar tekapan seterika di dada dipercayai menjadi mangsa buli dan dera penuntut senior Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), kelmarin cukup ngeri serta trauma bagi Zulkarnain Idrus, 61.

Malah, gambar tekapan itu masih kekal dalam ingatannya, selepas anaknya, Allahyarham Zulfarhan Osman yang meninggal dunia ekoran didera di universiti itu turut ditekap berulang kali dengan seterika.

Walaupun pelaku sudah menerima hukuman, kejadian yang pernah menimpa anak lelakinya itu tidak pernah padam.

Justeru, apabila mengetahui kisah terbaharu yang tular itu, perasaan sedih dan geram menyelubungi dirinya kerana tidak menyangka kejadian sedemikian masih ada lagi.

“Kalau betul apa yang berlaku kepada pelajar terbabit, saya memang kesian. Lebih-lebih lagi anak saya turut mengalami nasib hampir sama.

“Saya mahu tindakan tegas diambil terhadap pelaku. Jangan biarkan pisang berbuah dua kali apabila kita memperkatakan tentang kes penderaan terutama apa yang pernah berlaku di UPNM sebelum ini dengan melibatkan anak saya sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Dalam pada itu, Zulkarnain berharap kerajaan dapat mewujudkan undang-undang khusus bagi mengekang kes berkaitan penderaan dan buli termasuk kes yang disifatkan kecil.

“Adalah perlu kerajaan mewujudkan akta buli meliebatkan kes buli sekecil-kecilnya sehingga kes besar.

“Sekiranya berlaku kes kecil, mana mungkin kita mahu tangkap dan letakkan ia di bawah akta jenayah pula?” ujarnya.

Selain itu, Zulkarnain dalam masa sama memuji tindakan pantas ATM yang menjalankan siasatan dakwaan wujudnya kes penderaan di UPNM. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN