KUALA LUMPUR: Budaya buli di semua pusat pendidikan sama ada di universiti dan sekolah mesti dihentikan segera.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tiada tolak ansur berhubung sikap itu kerana ia jelas merupakan satu bentuk penganiayaan kepada generasi muda.
Sehubungan itu, beliau menegaskan, semua pentadbiran dan pengurusan sekolah, universiti mesti melihat perkara ini satu tanggungjawab menghentikan amalan buli dalam kalangan mahasiswa dan pelajar.
Katanya, budaya seumpama itu tidak seharusnya berlaku di semua pusat pendidikan dalam negara ini.
“Saya bagi nasihat secara umum, jangan berlaku (buli) di sekolah, sekolah menengah, maahad tahfiz, sekolah Cina.
“Ini kena pastikan sama ada guru besar, naib canselor, pengetua kolej untuk tanggungjawab melihat dan hentikan budaya buruk buli kerana terlalu banyak aduan.
“Kita nampak apabila terbongkar di media sosial, ini mesti dihentikan aniaya anak-anak,” katanya.
Mengulas kejadian membabitkan Pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) UPNM, Anwar berkata, perkara itu di bawah urusan polis.
Baru-baru ini, seorang Pegawai kadet ALK UPNM, dipercayai menjadi mangsa buli pelajar senior.
Individu itu difahamkan didera menggunakan seterika yang ditekap pada dadanya sehingga meninggalkan kesan lecur.
Terdahulu, Anwar dalam program itu berkata, tiada tolak ansur dalam budaya buli dalam universiti dan pusat pendidikan yang dilihat sudah sistematik atau sebati dalam pusat pendidikan.
Katanya, budaya membuli terus berlaku kerana terdapat pihak bersikap permisif dengan membenarkannya berlaku.
Kata Anwar, beliau berkesempatan berjumpa dengan bekas pelajar UPNM ketika di Penjara Sungai Buloh.
“Anak-anak ini baik, begitu sopan, cerdik. Saya minta keizinan berjumpa dengan mereka.
“Ia kelompok kecil bukan mewakili keseluruhan mahasiswa tapi budaya itu mengizinkan, budaya samseng, buli, gangster dalam sistem pendidikan di sekolah kebangsaan, Cina, Tamil, Maahad Tahfiz dan sekolah agama.
“Ini adalah kegilaan. Kita cakap soal ilmu, kita tidak tahu disiplin itu mendidik manusia. Darjat kemanusiaan dan ilmu itu penting kepada penghayatan. Ini cabaran bagi setiap pimpinan Naib Canselor, profesor dan pensyarah termasuk saya dan menteri,” katanya ketika ditemui media selepas Program Temu Anwar yang berlangsung di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di sini, semalam.
Justeru katanya, beliau mengingatkan kepada menteri berkaitan bahawa tiada tolak ansur dalam budaya buli.
“Saya bagi tahu kepada menteri pendidikan, jangan tolak ansur. Bagi amaran dan nasihat jangan tolak ansur sama sekali kerana tak nak berlaku secara terpisah kerana berlaku dalam budaya,” katanya.
Perdana Menteri menegaskan betapa mustahaknya untuk menghayati ilmu pengetahuan kerana beliau percaya ia dapat membentuk nilai, akhlak dan adab dalam kalangan masyarakat. – UTUSAN










