Guru baharu jangan mudah merungut

Guru baharu jangan mudah merungut

FOUZI SINGON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Guru baharu dinasihatkan tidak mudah me­rungut atau mengalami ‘kejutan budaya’ jika ditempatkan di sekolah-sekolah yang keadaannya daif dan jauh di pedalaman.

Sebaliknya, mereka perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan termasuk mengeluarkan duit poket sendiri bagi menyelenggara atau menghias sekolah yang ditempatkan, selain berlapang dada serta menguta­makan keazaman menjadi seorang pendidik.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Fouzi Singon berkata, guru tidak seharusnya beralasan dalam menyesuaikan diri kerana mereka juga pernah menjadi murid suatu ketika dahulu dan datang dari pelbagai latar belakang.

Katanya, warga pendidik tidak boleh melihat aspek ditempatkan di sekolah yang daif, jauh dari bandar dan perlu melakukan kerja tambahan sebagai faktor buli.

“Kami tidak menolak kemungkinan berlaku buli melibatkan guru namun kebanyakan kes adalah kecil dan dapat ditangani.

“Kebanyakan kes buli melibatkan guru berpunca daripada sistem pengurusan yang tidak sistematik di sesebuah sekolah. Namun selepas dibuat aduan, ia dapat diselesaikan dengan baik dan pihak berkaitan dikenakan tindakan sewajarnya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, terdapat sejumlah kes buli melibatkan pelajar sekolah dan kumpulan doktor pelatih sehingga ada yang me­ngakibatkan kes kematian dilaporkan media arus perdana.

Profesion guru juga tidak terlepas daripada masalah itu biarpun bilangan kesnya kecil dan tidak serius.

Kata Faouzi, agihan kerja dibuat sama rata dan mengikut keupayaan serta kebolehan guru.

“Tugasan tambahan perlu dirunding antara pentadbir dan guru. Apabila ada persetujuan bersama budi bicara pengurusan boleh digunakan.

“Namun, ada setengah pe­ngurus sekolah yang tidak bijak dan matang dalam menguruskan sumber manusia mereka sehingga berlakunya ketidakharmonian. Justeru, Kementerian Pendidikan perlu melihat isu ini yang menjadi salah satu punca guru bersara awal atau mohon tukar secara drastik,” katanya.

Sementara itu, Presiden Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (i-Guru) Azizee Hasan mencadangkan guru yang dibebani tugas bukan mengikut bidang mereka, diasingkan antaranya melibatkan urusan perkeranian di sekolah.

Beliau turut menyarankan KPM mengurangkan tugas perkeranian guru yang bukan bidang tugasnya.

“KPM mungkin boleh mewujudkan perjawatan pembantu guru di sekolah begitu juga perjawatan warden agar guru fokus kepada tugas hakiki iaitu mengajar dalam masa yang sama akur kepada Dokumen Standard Guru Malaysia,” katanya.

Tegasnya, semua guru perlu jelas mengenai bagaimana untuk mematuhi peraturan dan ber­disiplin sebagai seorang penjawat awam.

“Guru perlu diberi pendedahan tentang undang-undang. Jika ada kes, mereka perlu menggunakan saluran yang betul.

“Penggunaan Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) adalah langkah terbaik jika mereka merasakan dibuli dan laporkan kepada pihak-pihak yang berkaitan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN