KANGAR: Beberapa strategi perlu diatur dalam mendepani cuaca ekstrem dijangka tahun depan yang semakin memberi kesan ketara di Malaysia sekali gus memastikan negara mampu menyesuaikan diri serta mengurangkan impak negatif terhadap rakyat dan ekonomi akibat ancaman berkenaan.
Dalam mendepani cabaran tersebut, beberapa langkah digariskan seperti pelaburan dalam infrastruktur hijau, penggunaan teknologi pertanian cekap air dan tahan lasak, dasar mitigasi perubahan iklim dan pembangunan sistem amaran awal.
Pensyarah Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Awam, Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Prof. Madya Dr. Norazian Mohamed Noor berkata, dalam soal pelaburan dalam infrastruktur hijau ia cukup penting untuk menghadapi fenomena cuaca ekstrem seperti kemarau dan banjir.
Katanya, di Malaysia, pembinaan sistem pengurusan air yang lebih baik termasuk empangan dan tebatan banjir dapat membantu mengawal air semasa musim kemarau dan melindungi kawasan rendah daripada banjir.
“Contohnya, projek pembangunan tebatan banjir di Sungai Kelantan dan Pahang yang dilaksanakan oleh kerajaan bertujuan mengurangkan risiko banjir besar seperti yang berlaku pada 2014 dan 2021 di Pantai Timur.
“Negara-negara seperti Belanda juga telah melabur besar dalam infrastruktur pengurusan air terutamanya dengan pembinaan sistem empangan dan benteng yang canggih bagi mengelakkan banjir laut. Malaysia boleh belajar daripada pengalaman ini untuk memperkuatkan kawalan banjir di bandar-bandar pesisir dan kawasan rendah yang terdedah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan, Malaysia diramal berdepan perubahan cuaca melampau atau cuaca ekstrem seperti hujan lebat luar biasa dan kemarau panjang bermula tahun depan.
Bagaimanapun, Malaysia dilihat masih belum bersedia sepenuhnya untuk menghadapi situasi mencabar sedemikian.
Kata Norazian lagi, langkah kedua melibatkan penggunaan teknologi pertanian cekap air dan tahan lasak dengan kerajaan perlu melabur dalam teknologi berkenaan bagi menghadapi situasi tersebut.
Ujarnya, sebagai contoh, teknologi irigasi titisan yang lebih cekap dapat mengurangkan penggunaan air dalam penanaman padi dan sayuran dengan pertanian hidroponik dan aquaponik juga semakin menjadi pilihan kerana tidak memerlukan tanah yang luas dan kurang bergantung kepada faktor cuaca.
“Di Israel antaranya yang terkenal dengan iklim kering dan tanah yang gersang, teknologi pengairan mikro dan sistem penangkapan air hujan telah berjaya meningkatkan hasil pertanian walaupun negara itu mengalami kemarau teruk. Malaysia boleh menerapkan teknologi seumpama ini bagi membantu petani tempatan mengharungi cabaran kemarau,” katanya.
Katanya lagi, kerajaan juga perlu memperkenal dan mengukuhkan dasar mitigasi perubahan iklim untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau yang menjadi penyumbang utama kepada pemanasan global.
Ujarnya, Malaysia telah meletakkan sasaran untuk mencapai neutraliti karbon menjelang 2050 namun usaha yang lebih tegas diperlukan, termasuk mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil dan menggalakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui seperti solar dan hidro.
“Negara seperti Denmark dan Jerman telah berjaya meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui dengan ketara yang boleh dijadikan contoh bagi Malaysia.
“Selain itu, kerajaan juga perlu perkenalkan dasar yang menggalakkan kecekapan tenaga dalam sektor perindustrian dan pengangkutan serta mempromosi penghijauan bandar dengan memperbanyakkan taman hijau yang dapat menyerap karbon dioksida,” katanya.
Seterusnya beliau berkata, pelaksanaan pembangunan sistem amaran awal yang lebih cekap bagi memberi peringatan atau amaran kepada rakyat dan mengurangkan risiko kerosakan serta kehilangan nyawa.
Katanya, sistem tersebut penting bagi kawasan yang sering dilanda banjir seperti di Pantai Timur dan Lembah Klang. – UTUSAN










