Bertindih kuasa punca pusat timbang swasta jadi isu

Bertindih kuasa punca pusat timbang swasta jadi isu

WAKIL penduduk mengadakan demonstrasi aman bagi membantah pembinaan pusat timbang sawit swasta di persimpangan jalan Gua Kota Gelanggi di Jerantut, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Pembinaan pusat timbang sawit swasta di persimpangan Felda Kota Gelanggi 2, Jerantut yang mendapat bantahan peneroka berlaku disebabkan pertindihan kuasa antara Felda dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dalam pemberian lesen.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan negeri, Datuk Amizar Abu Adam berkata, kerajaan negeri masih melakukan perbincangan dengan pengusaha dan agensi-agensi berkaitan berhubung pembinaan pusat timbang berkenaan.

“Kita sudah menghubungi MPOB dan perkara ini telah dibawa kepada Kementerian Perladangan dan Komoditi dan saya juga telah menghubungi Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani bahawa ada sedikit pertindihan kuasa antara Felda dan MPOB.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita masih dalam perbincangan sebab mereka sudah dapat lesen dan buka, jadi untuk menghentikan operasi agak sukar, namun perbincangan sedang dilakukan agar kita susunkan bagaimana Felda dan pekebun-pekebun kecil (menjual sawit),” katanya di sini semalam.

Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan kewujudan pusat timbang sawit swasta di persimpangan Kota Gelanggi berhampiran ladang sawit milik Felda, anak syarikat kerajaan negeri, Felcra dan ladang pekebun kecil menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penduduk.

Kewujudan pusat itu dilihat tidak signifikan memandangkan peneroka Felda Kota Gelanggi 1, 2 dan 3 serta Felda Jengka 8 dan Jengka 10 menjual hasil kepada kilang Felda yang menyediakan resit kepada mereka.

Bagi anak syarikat kerajaan negeri dan Felcra, menjual sawit di pusat timbang dan kilang mereka sendiri manakala pekebun kecil pula menjual sawit di dua pusat timbang di Pulau Tawar di Jerantut sejak sekian lama.

Menurut Amirza, pihaknya menggalakkan peneroka terus menjual di kilang sawit Felda yang dijamin pembayaran dan juga pengredan sawit.

Dalam pada itu katanya, beliau sedang berbincang dengan MPOB untuk mencari kaedah pemantauan berkesan bagi mengelakkan penjualan sawit curi di pusat timbang swasta tersebut.

Beliau berkata, jika pusat timbang itu didapati membeli sawit yang dicuri, tindakan tegas boleh dikenakan termasuk pembatalan lesen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini