IPOH: Kerajaan negeri Perak membentangkan Belanjawan 2025 sebanyak RM1.52 bilion, sekali gus merupakan peruntukan terbesar dalam sejarah negeri itu.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia meliputi belanja bagi maksud Mengurus RM981.80 juta dan belanja bagi maksud Pembangunan RM538.0 juta.
Katanya, belanja bagi Maksud Mengurus terdiri daripada Emolumen RM472.73 juta; Perkhidmatan dan Bekalan RM350.10 juta; Pembelian Aset RM16.35 juta; Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap RM136.42 juta serta Lain-lain Perbelanjaan RM6.20 juta.
“Peningkatan belanja bagi Maksud Mengurus tahun 2025 telah mengambilkira kenaikan gaji penjawat awam di bawah pentadbiran kerajaan negeri yang memilih Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dan pelarasan pencen Ahli Dewan Negeri,” katanya semasa membentangkan belanjawan dalam sidang dewan negeri di sini hari ini.
Beliau berkata, belanja bagi maksud Pembangunan RM538.0 juta merupakan jumlah tertinggi yang pernah kerajaan negeri peruntukan untuk membolehkan pertumbuhan ekonomi selari dengan pelan Perak Sejahtera 2030.
Pada masa sama katanya, pelaksanaan Belanjawan 2025 itu dirangka berdasarkan unjuran hasil dan terimaan pembangunan yang hampir mencecah RM1.438 bilion menerusi hasil cukai dan bukan cukai, terimaan bukan hasil dan terimaan pembangunan.
Beliau yakin kutipan hasil akan terus meningkat selaras dengan pertumbuhan sektor ekonomi termasuk janaan royalti daripada Industri Perlombongan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) serta pelaksanaan projek besar seperti Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) dan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV).
Saarani melihat trend itu setelah berjaya mencatat surplus untuk dua tahun berturut-turut iaitu RM29.6 juta pada tahun 2022 dan RM62.4 juta pada 2023.
“Untuk tahun 2024 pula, kita sekali lagi mencipta sejarah apabila seawal bulan Oktober, Perak sudah pun mencapai kutipan hasil mencecah RM1 bilion.
“Syukur Alhamdulillah, sukacita saya mengumumkan pada 28 November 2024, Kerajaan Negeri telah berjaya merekodkan kutipan hasil dan terimaan pembangunan RM1.199 bilion,” katanya.
Tambahnya, ekoran prestasi tersebut, kenyataan Laporan Ketua Audit Negara Bilangan 3 Tahun 2024 menyatakan bahawa Perak merupakan antara lima negeri yang menerima Sijil Ketua Audit Negara Tanpa Teguran untuk Penyata Kewangan Kerajaan Negeri bagi tahun berakhir 31 Disember 2023.
Katanya, usaha merangka dan melaksanakan belanjawan negeri tahun ini dipandu oleh lima elemen Visi Baru Perak yang diilhamkan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Jelasnya, lima elemen yang disarankan baginda ialah memastikan institusi yang cekap dan telus; membina semula modal insan dan meningkatkan kebolehpasaran; melabur dalam pintu masuk global; memanfaat dan meningkatkan aset semula jadi dan sejarah Perak yang menakjubkan; dan memperluaskan kuasa dalam pengumpulan hasil dan pembuatan keputusan. – UTUSAN