Banjir: 11 penduduk Kampung Pasir terpaksa keluar rumah

Banjir: 100 penduduk Kampung Pasir terpaksa keluar rumah

Beberapa buah kereta ditenggelami air akibat banjir berikutan hujan lebat sejak awal pagi di Kampung Pasir, Johor Bahru. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kira-kira 100 penduduk Kampung Pasir, Tampoi dekat sini terpaksa keluar dari rumah akibat banjir melanda, awal pagi tadi.

Hujan lebat sejak pukul 6 pagi mengakibatkan sebahagian Kampung Pasir dilanda banjir sehingga paras pinggang melibatkan kira-kira 30 buah rumah.

Ketua Kampung, Zaini Sinong berkata, hujan lebat sejak awal pagi ditambah air pasang menyebabkan sebahagian Kampung Pasir dilanda banjir.

“Hujan mulai turun pada tengah malam, tapi tak lebat, menjelang waktu subuh hujan mulai lebat selama dua jam.

“Itu yang menyebabkan kawasan rendah di Kampung Pasir banjir sehingga paras pinggang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya setakat ini tiada pusat pemindahan dibuka, hanya dua keluarga ditempatkan sementara di balai komuniti kerana uzur dan tidak sihat, namun sudah pulang ke rumah anaknya.

Zaini berkata,  dia menasihatkan penduduk kampung yang terjejas dengan banjir supaya berhati-hati terutama kanak-kanak agar tidak membiarkan anak mereka bermain air banjir.

“Sentiasa peka dengan keadaan cuaca kerana sepanjang minggu ini hujan  tidak menentu dan berharap penduduk bersabar menghadapi banjir dan bersiap siaga untuk berpindah kiranya perlu,” jelasnya.

Mohd. Azahari Aziz, 38, berkata, minggu ini sahaja sudah masuk dua kali banjir berlaku.

“Sebelum ini pada 21 November berlaku banjir akibat hujan lebat dan masalah pam air yang rosak.

“Pam air yang menyalurkan air keluar ke Sungai Skudai  tidak berfungsi dan masih dalam penyelenggaraan.

“Masalah pam air ini sering terjadi dan berharap pihak yang bertanggungjawab segera membaiki, kalau tidak setiap kali hujan lebat akan berlaku banjir,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN