KUANTAN: Lubang besar di Jalan Industri Semambu Tiga menghala ke Jalan Haji Ahmad di sini berpunca daripada penyusupan pengaliran air melalui sesalur kabel telekomunikasi bawah tanah.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Datuk Ir. Razali Kassim berkata, akibat pengaliran air berlaku mendapan di laluan tersebut.
Jelasnya, tinjauan sudah pun dilakukan bersama beberapa agensi terlibat kelmarin bagi menyelesaikan masalah jalan mendap di situ.
“Hasil perbincangan, saya mengarahkan semua agensi terlibat mengambil tindakan dan insya-Allah (kerja-kerja pembaikan) segera dilakukan.
“Pihak berkaitan akan membuat penutupan sementara lubang manakala pihak Telekom Malaysia (TM) pula melakukan kerja-kerja pengalihan (penukaran) kabel baharu dalam tempoh seminggu atau dua minggu,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Terdahulu, tular di media sosial gambar dikongsi orang awam memaparkan kejadian sebuah motosikal terjatuh dalam lubang di Jalan Industri Semambu Tiga menghala ke Jalan Haji Ahmad.
Turut tular sebuah video yang berdurasi satu minit 28 saat itu dikongsi pengguna @pubgnewinarea selepas mendakwa dirinya nyaris terjatuh di lubang besar di jalan berkenaan.
Dalam video tersebut, perakam memaklumkan lubang terbabit sudah lama dibiarkan tanpa tindakan, kira-kira empat bulan lalu dan ia berisiko membahayakan pengguna jalan raya.
Mengulas lanjut, Razali berkata, isu ini sudah berlarutan hampir empat bulan kerana pihak TM memerlukan kelulusan peruntukan daripada pihak atasan sebelum kerja pembaikan dilakukan. –UTUSAN











