PETALING JAYA: Penganalisis politik menyifatkan politik Malaysia bersifat retorik dengan hanya memfokuskan perkara-perkara sensasi berbanding membincangkan mengenai dasar dan polisi untuk kepentingan negara.
Penganalisis politik, Dr. Azmi Hassan berkata, perkara tersebut bukan sahaja menjadi fokus ahli-ahli politik di pentas ceramah tetapi turut di dalam Parlimen.
Kata beliau, perkara tersebut boleh dilihat betapa tohornya perbahasan mengenai sesuatu Rang Undang-Undang (RUU) atau polisi di dalam Dewan Rakyat yang secara langsung menunjukkan pembahas tidak membuat ‘ulang kaji’.
“Selalunya pembahasan itu bersimpangan iaitu jauh dari simpang sebenar yang patut dibahaskan, ini kerana pembahasan seperti itu yang menarik minat rakyat hingga mereka mendapat perhatian.
“Pembahasan tentang dasar atau polisi jarang sentuh secara mendalam kerana ia memerlukan ‘kerja rumah’ yang banyak dan tidak menarik minat. Saya melihat orang politik tidak pandai mengolah dalam bahasa yang mudah untuk difahami,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Terdahulu, dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq menyifatkan pemimpin atau ahli politik masih terperangkap dengan cara lama dan lapuk, yang akhirnya menjejaskan kebolehan rakyat serta negara untuk bergerak ke hadapan sekaligus berpecah-belah.
Katanya, anak-anak muda hilang harapan terhadap masa hadapan negara sehingga ada yang sanggup ‘angkat kaki’ pergi ke luar negara dan bekerja sebagai pemetik buah, kerana kurang peluang pekerjaan di tempat sendiri.
Beliau turut mendakwa kerajaan dibuai dengan fantasi bahawa ekonomi negara maju, baik, inflasi rendah, pekerjaan bagus dan saham naik. sedangkan peringkat bawahan tahu realiti sebenar.
Dalam pada itu, penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Salawati Mat Basir berkata, pandangan bekas Menteri Belia dan Sukan itu mempunyai kebenarannya.
Jelasnya, ahli politik dilihat gagal dalam mengambil idea-idea daripada golongan belia untuk kepentingan negara.
“Pandangan beliau (Syed Saddiq) itu ada benar dan salahnya, ini kerana orang muda tetap merasakan mereka mempunyai (potensi) yang lebih jadi keadaan negara tidak membantu mereka mencapai ia.
“Lagipun di Malaysia, susah untuk mereka yang bagus-bagus untuk diketengahkan, kita lebih mengetengahkan individu-individu yang mempunyai kabel ataupun hubungan dengan pihak-pihak tertentu,” katanya. – UTUSAN










