KUALA LUMPUR: Sebanyak 42 isu tadbir urus dan tatakelola dalam Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dikenal pasti melalui Laporan Pengauditan Khas pada 2018.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, Nafas telah diberikan kontrak pembekalan baja secara runding terus bermula tahun 1979.
Beliau berkata, Nafas mempunyai 16 syarikat subsidiari tetapi hanya empat syarikat subsidiari yang berkaitan kontrak baja yang untung.
“Berdasarkan Laporan Pengauditan Khas Tahun 2018 oleh Pendaftar Pertubuhan Peladang, terdapat 42 isu tadbir urus dan tatakelola ditemukan yang perlu kepada tindakan dan penambahbaikan.
“Namun tindakan penambahbaikan tidak dapat dilaksanakan akibat peralihan kerajaan ketika itu,” katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat semalam.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) yang meminta penjelasan berkaitan kontroversi yang berlaku dalam Nafas dan apakah hala tuju Kementerian dalam menstruktur semula Nafas.
Mohamad berkata, ketika ini, Nafas ditadbir oleh pentadbir yang dilantik oleh Pendaftar dan dalam masa yang sama, Majlis Penasihat turut dilantik bagi menasihati Pendaftar dan Pentadbir berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 7(1) Akta Pertubuhan Peladang 1973 [Akta 109].
“Laporan pihak Pendaftar Pertubuhan Peladang sepanjang tempoh penggantungan perlembagaan Nafas akan dilaporkan terus kepada Jemaah Menteri dari semasa ke semasa.
“Operasi, obligasi dan kewajipan Nafas kepada mana-mana pihak ketiga adalah tidak terjejas termasuk pembekalan baja padi kepada pesawah,” katanya. – UTUSAN










